IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah agar semua kawasan masjid dan surau di negeri inidapat dihijaukan dengan tanaman makanan menjelang akhir tahun ini.
Titah baginda, institusi berkenaan hendaklah berperanan sebagai pemangkin dan ‘game changer’ menggerakkan ahli-ahli kariah untuk terlibat aktif dalam program keterjaminan makanan.
Titah Sultan Nazrin lagi, pada masa sama, bilangan masjid, maahad tahfiz dan sekolah agama yang menceburkan diri dalam inisiatif menghasilkan bahan makanan juga semakin bertambah.
“Usaha-usaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menyemai kesedaran terhadap keterjaminan makanan dan pembaziran makanan telah mendapat sokongan, nasihat dan bantuan teknikal daripada Jabatan Pertanian Perak.
“Kesedaran rakyat mengenai masalah bekalan dan keterjaminan makanan wajib ditingkatkan. Rakyat wajib disedarkan untuk sama-sama berusaha menghasilkan bahan makanan.
“Bantuan dan sokongan Jabatan Pertanian Perak sangat kritikal untuk menjayakan kempen bumi hijau ini.
“Dan pelantikan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri dipercayai dapat membantu secara lebih berkesan pencapaian impian MAIPk untuk memenuhi agenda keterjaminan makanan,” titah Sultan Perak.
Baginda bertitah demikian ketika berangkat ke Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Yang Dipertua dan Anggota MAIPk, dan Hakim Mahkamah Syariah Negeri di Kompleks Islam Darul Ridzuan, dekat sini, pada Jumaat.
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah, ummah berdosa jika hanya berpeluk tubuh tanpa melakukan langkah pembetulan setelah menyedari kerosakan yang berlaku kepada alam dan kehidupan alam akibat sisa buangan bahan plastik.
Jutseru, titah baginda, kejayaan MAIPk bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dalam melaksanakan kempen meminimumkan penggunaan bahan-bahan plastik wajib diperluaskan agar memberi kesan yang lebih signifikan.
“Umat Islam wajib berada di barisan hadapan, menjadi contoh teladan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap perbuatan-perbuatan mencemari alam yang wajib dikawal.
“Di samping meminimumkan penggunaan bahan plastik, institusi agama Islam dan masjid hendaklah juga berada di barisan hadapan menyedarkan rakyat mengenai program kitar semula serta menghentikan perbuatan yang mencemarkan sungai dan sumber air,” titah Sultan Nazrin. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
[…] Semua masjid, surau dihijaukan dengan tanaman makanan – Sultan Perak […]