LORONG Seni Ipoh tampil dengan tarikan terbaharu, Seni Artisan Market (Seni Market) yang menghimpunkan elemen seni, makanan dan minuman serta jualan produk usahawan tempatan di bawah satu bumbung.
Terletak di Jalan Dato Maharajalela, Ipoh, Seni Market baharu sahaja membuka tirai pada 18 Oktober lalu dan beroperasi setiap hari bermula jam 11 pagi sehingga 11 malam.
Dekorasi di sini turut menampilkan elemen seni yang menarik menjadikannya lokasi sesuai untuk pengunjung merakamkan kenangan dan dimuat naik ke akaun media sosial mereka.
Pengurusnya, Nur Fatin Syafiqah Mohd Sulaiman berkata, pada hari biasa Seni Market akan beroperasi sebagai kafe dengan menjual makanan barat seperti pizza yang dibakar menggunakan arang, fish and chips, chicken tenders serta pelbagai hidangan lain.

Beliau berkata, biskut dan minyak wangi buatan sendiri turut dijual setiap hari yang menjadi salah satu tarikan utama di premis berkenaan.
”Pada hari Sabtu dan Ahad, kami akan mengadakan pop up stall bermula dari jam 11 pagi hingga 7 malam.
“Pengunjung boleh menikmati suasana berbeza dengan pelbagai jualan daripada usahawan tempatan seperti baju kurung, kebaya, pakaian bundle lelaki dan perempuan, tudung serta pencuci mulut seperti kek dan kunafa pistachio.

“Kami juga akan menambah lebih banyak variasi jualan dari semasa ke semasa. Selain jualan, kami turut menganjurkan pelbagai acara bertema mengikut musim dan perayaan, termasuk pada cuti umum bagi menarik kehadiran pengunjung,“ katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak pada Ahad.
Nur Fatin Syafiqah berkata, keunikan Seni Market terletak pada produk biskut dan minyak wangi buatan sendiri.
“Biskut kami 100 peratus buatan sendiri dan bukan dibeli dari mana-mana pembekal. Pengunjung boleh datang dan rasa sendiri kelembutan serta kerangupannya.
“Pada masa ini, kami sedang mengadakan promosi istimewa dari bulan Oktober hingga hujung November. Kalau beli tiga jenis biskut, pelanggan akan dapat satu percuma,” jelasnya.

Katanya, pengunjung yang meminati minyak wangi juga boleh berkunjung ke sini untuk menghasilkan minyak wangi mengikut bau serta citarasa sendiri.
“Di sini, kami mempunyai pakar dalam menghasilkan minyak wangi buatan sendiri yang menggunakan bahan semula jadi.

“Mereka yang berminat boleh mencipta sendiri bau minyak wangi mengikut cita rasa masing-masing, sesuatu yang belum pernah ada di Lorong Seni Ipoh,“ ujarnya.
Dari segi harga, beliau menjelaskan, minyak wangi yang dijual bermula dari harga serendah RM20 manakala bagi biskut pula dijual antara RM10 hingga RM18 dengan pilihan seperti pistachio, matcha, double coklat, butter, peanut, dan rice cookies.

Tidak ketinggalan,beliau menambah Seni Market turut menjadi lokasi ideal untuk bersantai dengan pilihan minuman seperti matcha dan tiramisu yang menjadi kegemaran ramai. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Green Tech Perak 2025 gerakkan transformasi tenaga hijau, inovasi mampan


