TANJUNG MALIM – “Potong rambut saya seperti biasa, di tepi nipis, bahagian atas pendek”.
Tanpa banyak bicara, V. Sentilvasan, 53, terus mengambil gunting dan sikat sebelum jarinya tangkas memotong helaian-helaian rambut seorang pelanggan di Kedai Gunting Rambut Super Cutting, Tanjung Malim.
Sentilvasan merupakan generasi keempat keluarganya yang mewarisi perniagaan menggunting rambut di kedai yang sama sejak lebih 30 tahun lalu.
Bapa kepada lapan cahaya mata itu berkata, dia jatuh cinta kepada pekerjaan itu selepas kerap menemani datuknya di kedai berkenaan sejak di bangku sekolah.
“Saya selalu bersama datuk saya dan melihat sendiri bagaimana dia menguruskan perniagaan gunting rambut.
“Selepas tamat persekolahan, saya merantau dan bekerja sebagai tukang gunting rambut di Teluk Intan, Raub di Pahang, Gerik dan Pulau Pinang, sebelum kembali ke Tanjung Malim,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak, baru-baru ini.
Menurut Sentilvasan, kemunculan kira-kira 15 kedai gunting rambut dan salun moden di sekitar Tanjung Malim sejak beberapa tahun bekelangangan ini memberi kesan kepada perniagaan yang diusahakan itu.
Katanya, jika selama ini dia boleh meraih kehadiran 30 pelanggan dalam sehari, namun situasi itu berubah apabila hanya menerima kedatangan 10 ke 15 pelanggan dalam tempoh sama.
Walau bagaimanapun Sentilvasan berkata, keuntungan wang ringgit bukan semata-mata yang mahu dicari, sebaliknya ketenangan dan kepuasan daripada pekerjaan yang dilakukan adalah tumpuan hidupnya.
“Memang sedikit mencabar apabila sudah ada ramai pesaing kedai gunting rambut di sini. Sejak dua tiga tahun semakin banyak salun dan kedai ‘barber hipster’ dibuka di sekitar.
“Namun, kita layankan sahaja, tanpa terlalu banyak berfikir (situasi itu). Lagipun saya memang sudah menyukai pekerjaan sebagai tukang gunting rambut.
“Jika saya berhenti dan melakukan pekerjaan lain seperti menjadi pemandu lori, mungkin saya akan kebosanan kerana tidak minat,” ujarnya.
Ditanya tentang faktor sebenar yang membuatkan dia terlalu menyukai pekerjaanya, Sentilvasan memberitahu, hanya sebagai tukang gunting rambut, dia boleh mengenali ramai orang daripada pelbagai latar belakang.
Dia yang menetap di Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Danau Hulu Bernam di Selangor itu berkata, dia sememangnya seorang yang suka bersembang dengan pelbagai lapisan masyarakat.
“Saya ada ramai pelanggan tetap yang terdiri daripada pelbagai latar belakang bangsa, agama dan pekerjaan.
“Dan kebanyakan mereka ada yang datang dari Sungai Tinggi dan Kuala Kubu Baru di Selangor serta Slim River,” katanya lagi.
Sentilvasan menambah, anak lelaki yang berusia 27 tahun kini sedang meneruskan legasi keluarga apabila turut sama mengusahakan sebuah kedai gunting rambut di Kuala Kubu Baru. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Warisan tradisional berdiri utuh biar pun menjangkau 100 tahun