IPOH – Ketika kebanyakan umat Islam menyambut Syawal bersama keluarga di kampung halaman, Mohd Murad Ibrahim, 53, sudah terbiasa meraikan hari raya dari belakang stereng bas awam.
Berbekalkan pengalaman selama enam tahun sebagai pemandu bas, bapa kepada dua cahaya mata itu tetap setia membawa penumpang ke destinasi walaupun suasana berlatarbelakangkan takbir raya.
Menurut Mohd Murad, pekerjaan yang melibatkan pengangkutan awam memerlukan komitmen dan pengorbanan yang tinggi tanpa mengira hari mahupun masa.
“Pengangkutan awam ini sentiasa perlu beroperasi, dan ia tidak berhenti. Kalau ikutkan, sedih itu adakalanya memang terasa juga apabila terpaksa bekerja pada hari raya.”
“Tetapi apabila pihak syarikat pengendali bas membenarkan pemandu mengenakan baju Melayu pada pagi raya, kesedihan itu sedikit terubat. Tambahan pula, kita ada sistem giliran tahunan untuk bercuti pada hari raya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mohd Murad merupakan antara 92 pemandu bas bagi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti, BAS.MY, di bawah syarikat The Combined Bus Services Sdn. Bhd, iaitu anak syarikat kepada Perak Transit Berhad.
Bekas pemandu bas ekspres itu berkata, memandu kenderaan berkenaan memberi kepuasan dan kebanggaan kepadanya kerana ia seolah-olah sudah sebati dengan jiwanya.
Berkongsi rutin harian, Mohd Murad berkata beliau akan keluar dari rumah seawal jam 6 pagi bagi memulakan perjalanan antara Seri Iskandar, Batu Gajah, Menglembu dan Stesen Bas Medan Kidd di sini.
Katanya, dia akan memastikan bas sentiasa berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan, termasuk melakukan semakan prosedur operasi standard (SOP) pematuhan harian pemandu.
“Kita pun perlu ambil berat terhadap apa yang kita bawa, kerana kita bukan bawa satu objek yang pegun.”
“Sebagai pemandu bas, kita bawa sesuatu yang bernyawa, dan pastinya ada di antaranya itu seorang emak, bapa, atau anak. Jadi, kita ambil pandangan itu sebagai satu tanggungjawab yang cukup berat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Murad berkata dia juga sering berhadapan dengan 1001 kerenah dan situasi penumpang yang bermacam ragam.
Namun begitu, beliau memberitahu bahawa sebagai pemandu bas, beliau perlu bersikap profesional tanpa mengira apa jua situasi yang dihadapi.
“Saya pernah berjumpa dengan penumpang sama, yang suka naik bas saya berkali-kali, sampai saya pun hairan.”
“Saya tidak tahu niat sebenar dia, tetapi mungkin dia selesa atau suka dengan cara saya melayan penumpang,” katanya.
51 buah bas BAS.MY
Sementara itu, Ketua Penyelia Operasi Bas Perak Transit, Mohammad Saupian Ab Samat berkata, terdapat 51 buah bas BAS.MY yang melibatkan 16 laluan rutin di sekitar daerah Kinta, Perak Tengah dan Kuala Kangsar.
“Ada pemandu dengan laluan tetap, manakala ada juga pemandu yang berperanan sebagai gantian ketika pemandu lain bercuti rehat. Oleh itu, mereka perlu mahir kesemua 16 laluan yang kita ada, mengikut jadual yang ditetapkan,” jelasnya.
Pada masa sama, Pengurus Operasi Bas Perak Transit, Muhammad Halim Rahmat memberitahu bahawa sejak dilancarkan pada Februari lalu, perkhidmatan BAS.MY mendapat sambutan menggalakkan khususnya daripada warga tempatan.
Kata beliau, sejak inisiatif penjenamaan semula oleh Kementerian Pengangkutan itu, kadar penggunaan perkhidmatan bas meningkat sekitar 40 ke 45 peratus.
Malah, menurut Muhammad Halim, pas bulanan perjalanan tanpa had iaitu Kad 30 Hari BAS.MY turut mendapat sambutan, dengan sekitar 300 pas telah didaftarkan.
Beliau turut memaklumkan bahawa jumlah pendaftaran Kad Konsesi menunjukkan peningkatan yang signifikan sejak penjenamaan semula kepada BAS.MY, dengan jumlah terkini mencecah 8,129 pengguna, berbanding 4,656 pengguna sebelum penjenamaan.
“Laluan yang menerima jumlah penumpang yang ramai adalah di sekitar Bandar Raya Ipoh serta perjalanan antara Ipoh ke Kuala Kangsar dan Ipoh ke Kampar.”
“Kebanyakan yang menggunakan perkhidmatan BAS.MY ini adalah golongan pekerja, pelajar serta warga emas yang membeli barangan keperluan harian mereka,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: