PUTRAJAYA – Seorang lagi pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, pegawai tentera darat itu ditahan jam 11 pagi tadi ketika hadir memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM, di sini.
“SPRM pada hari ini telah menahan seorang lagi pegawai tinggi ATM pada jam 11 pagi bagi membantu siasatan lanjut kes ini.
“Sebarang kemaskini mengenai kes ini akan dimaklumkan pada sidang media SPRM pada Khamis,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Terdahulu, pegawai kanan ATM itu hadir ke ibu pejabat SPRM di sini sekitar jam 10 pagi tadi bagi dirakam keterangan.
Dalam pada itu Azam mengesahkan, SPRM telah membebaskan bekas Panglima Tentera Darat daripada tahanan reman pada 6.30 petang, Isnin, 12 Januari lalu.
Sebelum ini media melaporkan, bekas PTD direman tujuh hari sehingga 14 Januari depan bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan penerimaan rasuah melibatkan projek tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Dua individu yang turut direman ialah isteri pertama suspek selama tiga hari iaitu sehingga 10 Januari manakala isteri kedua pula selama enam hari sehingga 13 Januari ini.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya. -MalaysiaGazette


