SITIAWAN – Seorang lelaki berusia 25 tahun maut dalam kemalangan melibatkan kereta jenis Perodua Bezza dengan sebuah lori di depan dewan Batu 8, Lekir di sini, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 6.14 pagi.
Menurutnya, sepasukan 19 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Manjung dan Sitiawan telah bergegas ke lokasi kemalangan tersebut.
“Sejurus tiba di lokasi, kami dapati pemandu kereta yang tersepit maut di tempat kejadian.
“Pasukan Bomba yang tiba di tempat kejadian diarahkan oleh Komander Operasi membuat kerja mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mayat mangsa, diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Husni Syawal Ismail tamat jam 7.45 pagi,” katanya. – MG Perak.