GERIK – Seorang lelaki maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di kawasan berhampiran hentian Rehat dan Rawat (R&R) Puncak Titiwangsa, Lebuhraya Timur Barat (JRTB) Gerik–Jeli di sini, pada Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.24 pagi.
Katanya, sejurus selepas itu seramai 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) BBP Gerik, dan BBP Jeli, Kelantan diatur gerak ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba yang berada di lokasi mendapati kemalangan jalan raya melibatkan dua kereta iaitu sebuah kereta jenis Perodua Ativa dan kereta jenis Kia Forte.
“Didapati kereta Perodua Ativa tersebut telah terbabas lalu terbalik ke dalam longkang manakala kereta Kia Forte terbabas ke bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, seorang lelaki maut sementara tiga lagi cedera menaiki kereta Perodua Ativa, sementara dua penumpang cedera berada dalam kereta Kia Forte.

“Pasukan Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari Hospital Gerik dan Jeli turut hadir ke lokasi kejadian.
“Mereka mengesahkan seorang lelaki dewasa yang menaiki kereta Perodua Ativa telah meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya lagi.
Tambah Sabarodzi, pasukan bomba melaksanakan kerja penyelamatan dengan menggunakan peralatan khas ‘rescue cutter’ bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta terbalik.
Beliau berkata, kesemua lima mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Jeli bagi menerima rawatan lanjut.
“Manakala mangsa yang meninggal dunia di lokasi kejadian diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II KUP, Mohd Nizam Zakaria itu berjaya dikawal pada jam 1.40 tengah hari sebelum ditamatkan sepenuhnya lapan minit kemudian. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tujuh cedera dalam kemalangan dua kereta


