Seorang maut nahas empat kenderaan di Kuala Kangsar

KUALA KANGSAR – Seorang lelaki maut dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kampung Merbau Tua, Jalan Baling-Kuala Kangsar, di sini pada Khamis.

Mangsa dikenali sebagai Megat Muhammad Ikram Megd Aden, 33, dari Kampung Luat, Lenggong.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 1.32 petang.

Menurutnya, seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar kemudiannya digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat.

“Setibanya di lokasi didapati kemalangan melibatkan kereta jenis Proton Waja dari arah Kuala Kangsar menghala ke Baling telah bertembung dengan sebuah lori dua tan jenis Daihatsu.

“Berdasarkan maklumat orang awam kemalangan tersebut turut melibatkan dua kenderaan lain iaitu kereta jenis Honda dan trak pikap Toyota Hilux.

“Terdapat seorang mangsa lelaki berusia 33 tahun yang menaiki kereta Proton Waja ditemui dalam keadaan tidak tersepit, dua mangsa yang menaiki lori mengalami kecederaan ringan dan seorang wanita menaiki kereta Honda tidak mengalami kecederaan.

“Pemandu Toyota Hilux tidak diketahui status kecederaan kerana telah ke balai polis berhampiran sebelum ketibaan bomba,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, ketua operasi segera menjalankan penilaian situasi dan mengaplikasikan konsep SAVER atau Pendekatan Sistem Untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap dan mengarahkan anggota melaksanakan kerja penyelamatan dengan menstabilkan serta mengeluarkan mangsa dengan menggunakan pengusung.

“Mangsa yang menaiki kereta Proton Waja telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Dua mangsa yang mengalami kecederaan ringan telah dihantar ke hospital dengan menggunakan ambulans,” ujarnya.

Katanya, operasi tamat sepenuhnya jam 2.50 petang. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

15 pelajar UPSI maut kemalangan dekat Tasik Bandin

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI