PARIT – Seorang pekerja maut manakala tiga lagi cedera selepas tertimbus dalam kejadian tanah rebak ketika kerja pengorekan tanah dan pemasangan paip di Kampung Teluk Kepayang, Bota, dekat sini pada Ahad.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5 petang.
Katanya, sejurus selepas itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar kemudian diatur gerak ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 19 kilometer (km) dari balai.
“Setibanya pasukan di lokasi didapati terdapat tiga mangsa tertimbus pada paras dada sementara seorang lagi tertimbus dalam tanah, dengan kawasan korekan dianggarkan sedalam tiga meter,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut Shazlean, hasil maklumat awal saksi mendapati kejadian berlaku selepas dua pekerja menyedari tanah di sekeliling kawasan korekan mulai rebak dan jatuh ke dalam longkang yang dikorek.
“Anggota bomba menggunakan penyodok, cangkul, ‘crowbar’, alat menyelamat, ‘scoop stretcher’ dan bantuan jengkaut bagi mengeluarkan mangsa.
“Ketiga-tiga mangsa berusia antara 28 hingga 38 tahun yang tertimbus pada paras dada berjaya dikeluarkan kira-kira pada jam 6.30 petang.
“Sementara seorang lagi berjaya dikeluarkan pada jam 7.59 malam namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.
Tambah beliau, mangsa yang cedera dihantar ke hospital menggunakan ambulans untuk menerima rawatan lanjut, manaka mangsa yang maut diserahkan kepada polis.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mustaza Shahfri bersama lapan anggota tamat pada jam 8.40 malam. – MG Perak
Artikel Berkaitan: