PARIT – Seorang maut manakala tiga lagi cedera selepas kereta mereka naiki terbabas di bahu jalan dalam nahas yang berlaku di hadapan hadapan sebuah pasar di Seri Iskandar, Bandar Seri Iskandar, Bota dekat sini malam tadi.
Difahamkan, semua mangsa yang berasal dari Sabah itu merupakan penuntut Universiti Teknologi Petronas (UTP).
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu sekitar jam 8.19 malam.
Menurutnya, sepasukan 10 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandari digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat.
“Setibanya di lokasi kejadian kita mendapati sebuah kereta Perodua Bezza dipercayai terbabas di bahu jalan dan tiada mangsa yang tersepit.
“Kemalangan itu melibatkan empat orang lelaki yang kesemuanya berusia 19 tahun dan berasal dari Sabah.
“Seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan, manakala tiga mangsa lain hanya cedera ringan.
“Ketua operasi mengarahkan anggota membuat penyelamatan dengan memberi rawatan awal kepada tiga orang mangsa yang cedera ringan dan mereka dihantar ke Hospital Changkat Melintang oleh ambulans dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.49 malam. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Wanita maut, anak lelaki patah kaki nahas babit dua lori
[…] Seorang penuntut UTP maut, tiga cedera kereta terbabas […]