IPOH – Cubaan mewujudkan persepsi negatif terhadap integriti institusi kerajaan sejak akhir-akhir ini disifatkan sebagai tindakan untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada gerak kerja kerajaan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, ketika kerajaan sedang memberi tumpuan kepada pelaksanaan dasar yang dirancang, namun wujud cubaan pihak tertentu yang mahu mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

“Apa yang berlaku dalam dua atau tiga minggu kebelakangan ini saya fikir sebahagiannya adalah cubaan untuk mengalih pandangan rakyat daripada gerak kerja yang dilakukan oleh kerajaan pada hari ini.
“Kerajaan sedang berusaha melaksanakan dasar-dasar yang baik kepada rakyat, namun dalam masa yang sama ada juga cubaan beberapa pihak untuk menyerang kredibiliti dan integriti institusi-institusi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Motosikal di bawah Inisiatif Sejahtera MADANI kepada 22 penerima di Dewan Komuniti Sungai Tapah, Manjoi, pada Jumaat.
Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan justeru meminta agar rakyat tidak mudah terpengaruh dengan naratif yang cuba menjejaskan keyakinan terhadap institusi kerajaan.
Tegas beliau, agenda pembangunan serta usaha membina negara secara bersama perlu diberi tumpuan, tanpa terpesong dengan polemik yang tidak memberi manfaat kepada kepentingan negara.
“Saya ingin menyeru kepada masyarakat dan rakyat di luar sana supaya kita terus memberikan sokongan dan tidak beralih pandangan daripada perkara yang lebih penting.
“(Sebaliknya) kita perlu fokus kepada usaha membangun dan membina negara secara bersama-sama,” katanya lagi.

Dalam pada itu kata beliau, walaupun pilihan raya boleh berlaku pada bila-bila masa, namun kerajaan ketika ini memberi keutamaan kepada tanggungjawab mentadbir negara dan memastikan ekonomi negara terpelihara.
“Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) boleh jadi bulan depan, boleh jadi dua bulan lagi atau tiga bulan lagi, tetapi fokus kita sekarang adalah untuk buat kerja terlebih dahulu.
“Apabila sudah sampai waktu, saat dan ketikanya, kita akan berhadapan dengan pilihan raya.
“Namun buat masa ini, jangan kita lari daripada fokus kita untuk memperkukuh ekonomi serta melaksanakan dasar-dasar negara yang telah dirancang,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Cadangan Pas sertai Kerajaan Perpaduan pandangan politik matang


