IPOH – Kerajaan Negeri Perak meminta semua atlet termasuk pemain bola sepak di negeri ini untuk mempraktikkan Kod Sukan Selamat susulan insiden serangan yang membabitkan tiga pemain bola sepak tempatan baru-baru ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, pematuhan terhadap kod yang diperkenalkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu mampu mengurangkan risiko kecelakaan sama ada ketika menjalani latihan, mahupun perlawanan.
“Saya lihat kejadian yang berlaku pada ketiga-tiga atlet itu (bukan semua) sewaktu mereka menjalani latihan, sebaliknya ia berlaku di waktu mereka bersama dengan keluarga atau program-program yang lain.
“Namun, saya mengingatkan supaya atlet (di Perak) juga harus mematuhi keselamatan yang ditetapkan.
“Jika ada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku, segera membuat laporan segera kepada pihak keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Sukan Negeri Perak dan Pengiraan Detik 100 Hari Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak, di Galasa Caldwell, dekat sini, pada Rabu.
Pada majlis, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyampaikan insentif berjumlah RM24,350 kepada 26 atlet yang telah melakar kejayaan dalam pelbagai kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Dalam pada itu, Khairudin berkata, kerajaan negeri menzahirkan rasa simpati terhadap insiden serangan yang menimpa pemain Selangor FC, Faisal Halim; Terengganu FC, Akhyar Rashid serta pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim.
“Oleh itu kita harus memastikan bahawa keselamatan gelanggang dan juga fasiliti sukan di Perak dipertimbang dan dijaga (dengan lebih baik),” jelasnya lagi.
Media sebelum ini melaporkan Faisal disimbah asid ketika berada di Kota Damansara pada Ahad lalu, manakala Akhyar pula disamun dan diserang pada 5 Mei lalu di Terengganu.
Terkini pada tengah malam tadi, cermin kereta bekas ketua skuad bola sepak kebangsaan, Safiq pula dirosakkan oleh dua individu tidak dikenali dengan menggunakan tukul besi di Johor. -MG Perak
Artikel Berkaitan: