Setahun jadi wakil rakyat, Mohamad Yusri terus perkasa infrastruktur, kebajikan

TAPAH – Sepanjang setahun menggalas amanah sebagai wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir telah melaksanakan beberapa projek pembangunan dan kemudahan awam bagi memenuhi keperluan penduduk.

Menurutnya, antara projek yang diberi perhatian termasuk kerja baik pulih jalan dan jambatan serta penyelenggaraan masjid dan surau.

“Kita mempunyai banyak projek yang telah dilaksanakan, termasuklah berkaitan dengan baik pulih jalan, jambatan, serta baik pulih masjid dan surau yang menjadi keperluan asas.

“Di samping itu, kita juga berusaha menyelaraskan bantuan berkaitan rumah bagi mereka yang menghadapi masalah dan memerlukan baik pulih rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Meriah Beraya Sejahtera Bersama 2026 DUN Ayer Kuning di Dewan Serbaguna Kampung Tersusun Haji Tahir, Temoh di sini pada Ahad.

Mengulas isu kemiskinan tegar di kawasan berkenaan, Mohamad Yusri menjelaskan berdasarkan data semasa, tiada kes miskin tegar direkodkan di DUN Air Kuning.

“Ya, mengikut data (kes miskin tegar) memang begitu. Bagaimanapun, kita akan sentiasa berusaha memastikan kebajikan dan kehidupan masyarakat sentiasa terbela melalui pelbagai inisiatif yang dibuat oleh kerajaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan rasa syukur atas sokongan pelbagai pihak dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.

“Saya bersyukur kerana mendapat sokongan yang baik daripada semua pihak untuk melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan ini.

“Kita akan terus berusaha memberikan indeks pencapaian yang baik bagi melahirkan rasa bahagia, khususnya dalam kalangan penduduk di dalam DUN Ayer Kuning ini,” katanya.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning yang diadakan April tahun lalu, Mohamad Yusri berjaya mempertahankan kubu kuat Barisan Nasional (BN) itu dengan majoriti 5,006 undi.

Beliau meraih 11,065 undi, mengatasi calon Perikatan Nasional (PN) Abdul Muhaimin Malek yang memperoleh 6,059 undi, manakala calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS mendapat 1,106 undi.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung selepas menyertai perlawanan bola sepak persahabatan di Pulau Pinang pada 22 Februari tahun lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Allahyarham Ishsam menang dalam pertandingan lima penjuru dengan majoriti 2,213 undi. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pelawaan bekas ahli sertai semula UMNO langkah perkukuh parti

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI