Setitik air pun ‘tak mandang’ – keluh pengusaha hotel, penduduk Pangkor

LUMUT – Pengusaha hotel dan resort di Pulau Pangkor, dekat sini resah apabila terpaksa berdepan dengan gangguan bekalan sumber air bersih yang memberi kesan langsung sejak hampir seminggu lalu.

Malah, ada antara mereka terpaksa membekalkan beberapa botol air mineral kepada pengunjung sebagai langkah alternatif demi keselesaan pengunjung ke premis mereka dalam tempoh musim cuti sekolah ini.

Pengusaha hotel, Syafiq Rozman, 38, berkata, masalah sehingga menyebab terputusnya bekalan air itu memberi kesan buruk bukan sahaja kepada pengusaha sepertinya, malah ia turut melibatkan hampir keseluruhan ekosistem pelancongan di Pulau Pangkor.

air pangkor ganguan pulau pangkor air tiada air bersih
Pengusaha Hotel, Syafiq Rozman, 38, ketika sesi temu ramah berkenaan masalah tekanan air rendah sehingga menjejaskan operasi perniagaannya ketika ditemui media di Pulau Pangkor. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 13 FEBRUARI 2024.

“Ia juga beri kesan kepada pengusaha produk pelancongan lain seperti teksi, kenderaan sewa, sukan air, penjaja dan sebagainya, dek kerana pelancong yang membatalkan niat mereka untuk ke sini disebabkan masalah air.

“Pulau Pangkor, adalah sebuah pusat pelancongan, akan tetapi disebabkan masalah ini, kita tidak dapat menerima kehadiran pelancong.

“Sebaliknya, kebanyakan pelancong mula membatalkan segala tempahan yang telah dibuat di sini termasuk tempahan bilik di resort atau chalet. Ini perkara memalukan yang perlu kami hadapi,” katanya kepada pemberita, di sini, pada Selasa.

air pangkor ganguan pulau pangkor air tiada air bersih
Salah seorang pengusaha hotel di Pulau Pangkor, Syafiq Rozman, 38, menunjukkan masalah tekanan air rendah sehingga menjejaskan operasi perniagaannya ketika ditemui media di Pulau Pangkor. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 13 FEBRUARI 2024.

Tambah Syafiq, perkara itu juga merencatkan usahanya dalam mencari rezeki pada musim cuti sekolah, memandangkan bulan Ramadan makin menghampiri.

Keluhan sama turut diluahkan pengusaha inap desa di Teluk Dalam, Suhaimi Omar, 46, yang menyifatkan masalah berkenaan bukan sahaja menimbulkan perbalahan dalam kalangan pengusaha dan pengunjung, malah memberi persepsi negatif terhadap Pulau Pangkor itu sendiri.

“Kami ada terima aduan terdapat pengunjung yang tidak sempat hendak membersihkan diri selepas membuang air besar disebabkan keputusan bekalan air.

“Jadi, adakah itu yang kita mahu tunjukkan kepada semua tentang ‘kenangan’ pelancong ke Pulau Pangkor?,” ujarnya.

air pangkor ganguan pulau pangkor air tiada air bersih
Penduduk Pulau Pangkor menolak tadahan air yang diambil pada lori tangki Lembaga Air Perak (LAP), berkenaan Pulau Pangkor terputus bekalan air sejak seminggu, di sini. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 13 FEBRUARI 2024.

Menurutnya lagi, dia terpaksa memaklumkan kepada para pelanggan yang telah membuat tempahan inap desa tentang masalah air yang sedang membelenggu Pulau Pangkor ketika ini.

“Ada yang dapat tahu tentang perkara itu, terus meminta wang pulangan atau ‘refund’. Jika semuanya bertindak untuk minta ‘refund’, susah juga kami di sini,” katanya lagi.

Pada masa sama, pelancong dari Johor Bharu, Zayani Aqtiah Noraini, 32, memberitahu dia kecewa selepas terpaksa berhadapan dengan masalah keputusan bekalan air dalam tempoh menginap di Pulau Pangkor selama dua malam sejak Ahad.

Dia yang datang bersama enam ahli keluarga berkata, pihaknya terpaksa membeli air mineral di kedai serbaneka bagi kegunaan membersihkan diri dan berwuduk.

“Pulau Pangkor merupakan destinasi pelancongan yang menarik, akan tetapi masalah air sahaja yang agak mengecewakan kerana ada antara kami ini merupakan warga emas. Akan tetapi perkara ini tidak buat kami serik untuk ke sini,” katanya lagi.

air pangkor ganguan pulau pangkor air tiada air bersih
Penduduk Pulau Pangkor, Zainal Abidin Ismail, 54, pada sesi temu ramah ketika tinjauan media ke Pulau Pangkor, berkenaan Pulau Pangkor terputus bekalan air sejak seminggu, di sini. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 13 FEBRUARI 2024.

Sementara itu, penduduk di Kampung Teluk Dalam, Pangkor, Zainal Abidin Ismail, 54, berkata masalah keputusan bekalan air yang yang melanda pulau berkenaan juga menimbulkan perbalahan dalam kalangan penduduk.

Dia mendakwa, perkara itu timbul selepas ada segelintir penduduk yang cuba mengambil air secara berlebihan tanpa memikirkan keperluan mendesak bersama.

“Dahulu masalah bekalan air ini kejap ada, kejap tak ada. Sekarang ini, setitik air pun tak ada. Kami yang majoritinya beragama Islam di sini, sukar untuk menunaikan solat disebabkan masalah air ini,” jelsnya lagi.

air pangkor ganguan pulau pangkor air tiada air bersih
Ahli Parlimen Lumut, Nordin Ahmad Ismail, pada sesi temu bual bersama media berkaitan kes Pulau Pangkor terputus bekalan air sejak seminggu, di sini. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 13 FEBRUARI 2024.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Lumut, Nordin Ahmad Ismail ketika ditemui berkata pihaknya akan mengesyorkan kepada Lembaga Air Perak (LAP) untuk menambah bilangan lori tangki air ke kawasan yang teruk terjejas.

“Setakat ini enam lori digerakkan LAP ke seluruh Pulau Pangkor dan ia tidak mampu untuk menyelesaikan masalah ketiadaan air di semua kawasan,” jelas beliau. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Bekalan air di Pangkor dijangka pulih sebelum Ramadan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI