PUTRAJAYA – Siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku pengarah terkenal, Datuk Afdlin Shauki berkenaan perolehan projek penerbitan bahan kreatif naungan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bernilai RM4 juta dijangka siap minggu depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, siasatan dilakukan oleh unit intergriti agensi berkenaan.
Menurutnya, semua pihak termasuk Afdlin akan dipanggil memberi keterangan.
“Tidak apa kalau saudara Afdlin mahu menolak atau menafikan tuduhan tersebut itu hak beliau. Tapi kita dari sudut tata kelola jabatan khususnya dan agensi kita kena jalankan yang sepatutnya.
“Siasatan sedang dijalankan saya. Menunggu hasilnya kalau tidak bersalah tidak ada masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Perasmian Hari Terbuka Pertanian Bandar dan Kelulut Putrajaya (HTPBKP) 2025 di Taman Botani, di sini.
Jelas Zaliha, DBKL tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku.
“Tetapi jika yang terkait maka kita akan ambil kenyataan atau tindakan seterusnya. Sudah tentu saya sepanjang masa tidak ada kompromi dengan perkara-perkara berkaitan dengan salah laku tatakelola ini, itu memang yang sentiasa kita pegang,” jelas beliau.
Sebelum ini, DBKL dilaporkan melancarkan siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku seorang Ahli Pembaga Penasihat yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif kemudian mengesahkan siasatan itu dan sedang bekerjasama rapat dengan unit integriti DBKL.
Dakwaan salah laku membabitkan Ahli Lembaga Penasihat DBKL itu mula tular di media sosial, sejak Jumaat lalu.
Ia membabitkan pelanggaran proses tadbir urus berkaitan perolehan projek kerja penerbitan bahan kreatif untuk DBKL bernilai RM4 juta, yang didakwa tidak diberikan melalui tender terbuka.
Afdlin kemudian dalam kenyataan di media sosialnya menafikan dakwaan salah laku dalam perolehan projek di bawah DBKL.
Ujarnya, fitnah itu merupakan tindakan pihak tidak bertanggungjawab untuk memburukkan namanya.-MalaysiaGazette