Siasatan penyelewengan dana bina rebuh raya, SPRM sita aset RM85.6 juta

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita dan membekukan aset serta akaun bank dianggarkan bernilai RM85.6 juta susulan siasatan penyelewengan dana sukuk bagi projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang yang dikaitkan dengan seorang pemegang konsesi bergelar Tan Sri.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata antara aset yang disita, termasuk 14 akaun individu berjumlah RM4.5 juta dan lapan akaun syarikat bernilai RM33 juta.

Beliau berkata turut disita kenderaan bernilai RM7.65 juta, beg tangan bernilai RM3 juta, barang kemas (RM6 juta) serta jam tangan mewah dianggarkan RM7 juta, dan hartanah bernilai RM24.5 juta.

“Kita mengesyaki Dana Sukuk berjumlah ratusan juta ringgit itu disalurkan kepada syarikat kontraktor milik Tan Sri terbabit sebelum disalahgunakan untuk kepentingan peribadi dan tidak digunakan bagi tujuan pembiayaan projek lebuh raya berkaitan.

“Dana berkenaan seterusnya dipindahkan ke beberapa entiti lain, termasuk syarikat proksi dan akaun isteri Tan Sri terbabit yang disyaki digunakan untuk pembelian aset seperti hartanah, kenderaan mewah, barang kemas, dan beg tangan termasuk aktiviti perjudian,” katanya ketika dihubungi.

Selain itu, Azam berkata dana berkenaan dipercayai turut digunakan bagi menampung perbelanjaan peribadi seperti pembelian hartanah dalam dan luar negara serta pelaburan melalui pelbagai transaksi kewangan berlapis bagi mengaburi sumber asal dana.

Mengulas lanjut, Azam berkata setakat ini pihaknya masih belum merakam keterangan daripada Tan Sri terbabit susulan keadaan kesihatannya yang kini berada di hospital bagi menerima rawatan.

“Bagaimanapun, siasatan masih berjalan, dengan penyitaan aset terbabit dan kita akan meneliti perolehan harta berkenaan, termasuk mendapatkan dokumen kewangan daripada bank termasuk beliau sendiri bagi tujuan analisis dalam membantu siasatan,” katanya,

Azam berkata setakat ini 45 orang sudah dipanggil dan dirakam percakapan serta antara 30 hingga 50 saksi lagi akan dipanggil bagi membantu melengkapkan siasatan.

“Kita tidak menolak kemungkinan ahli keluarga (Tan Sri) turut sama dipanggil bagi dirakam keterangan untuk membantu siasatan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM menyita pelbagai aset, termasuk beg tangan, barangan kemas, kenderaan mewah, jam tangan, wang tunai, dan kediaman mewah keseluruhannya dianggarkan kira-kira RM32 juta dipercayai milik seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri.

Dalam operasi pada Khamis lepas, SPRM turut menemukan sebuah stor simpanan pelbagai jenis minuman beralkohol mewah di sebuah kediaman yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta dan dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram.

Kesemua barang dan aset disita bagi tujuan siasatan lanjut mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI