Sidang Kemuncak ASEAN buka peluang baharu pelaburan, kerjasama serantau – PM

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung minggu ini bukan sekadar medan diplomasi, tetapi satu peluang besar untuk memperkukuh jaringan ekonomi, pelaburan dan transformasi serantau yang mampan.

Beliau berkata, Malaysia berjaya mengekalkan kestabilan dan daya tahan ekonomi sejak merdeka hasil dasar-dasar berhemah yang menekankan pertumbuhan seimbang antara kewangan, tenaga dan transformasi digital.

“Alhamdulillah, Malaysia telah bertahan sejak kemerdekaan dan kini kita terus berkembang dengan dasar yang dirangka ke arah kemampanan ekonomi, termasuk peralihan tenaga dan transformasi digital,” katanya pada sesi taklimat bersama Ketua-Ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di Kementerian Kewangan di sini malam ini.

Menurutnya, sidang kemuncak kali ini juga memberi ruang kepada pemain industri serantau dan antarabangsa untuk menjalin kerjasama strategik dalam memperkukuh ekosistem pelaburan ASEAN.

“Saya berharap pertemuan perniagaan yang diadakan sempena sidang ini akan membuka lebih banyak peluang kepada pelabur luar dan serantau untuk melihat potensi ekonomi Malaysia serta negara ASEAN yang lain,” ujarnya.

Anwar turut memaklumkan Malaysia telah mengadakan siri rundingan dengan beberapa pemimpin dunia, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bagi membincangkan isu perdagangan, tarif dan kerjasama pelaburan dua hala.

“Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, perbincangan mengenai tarif dan pelaburan telah dijalankan dengan semangat positif walaupun ada cabaran tertentu. Namun matlamatnya tetap sama iaitu mencari jalan untuk mengukuhkan pelaburan dan perdagangan antara kedua-dua negara,” jelasnya.

Perdana Menteri turut menambah, usaha berterusan dengan rakan sejawatnya di ASEAN termasuk Kemboja membuktikan semangat kerjasama serantau yang kukuh ke arah mencapai hasil positif bersama.

“Saya percaya perbincangan yang dijalankan dengan para pemimpin ASEAN sejak beberapa minggu lalu akan membuahkan hasil yang baik untuk rantau ini,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI