IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) tidak menghalang mana-mana pertubuhan silat untuk membuka gelanggang di masjid selagi aktiviti tersebut tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
Timbalan Pengarah JAIPk, Mohd Kamal Mohamad Noor berkata, pihaknya memang melaksanakan dasar Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang mahu masjid-masjid di seluruh negeri Perak memberi perhatian terhadap warisan bangsa iaitu seni silat supaya dapat dihidupkan semula.
Menurutnya, penglibatan anak-anak muda dalam seni silat secara tidak langsung dapat menghindarkan mereka daripada pengaruh budaya yang tidak memberi manfaat.

“JAIPk adalah agensi pelaksana yang menjunjung kasih titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah supaya seni warisan bangsa kita terus dipelihara dan dijadikan sebahagian daripada aktiviti bagi mengimarahkan masjid.
“Hal ini dapat kita saksikan pada hari ini, apabila dalam setiap majlis rasmi atau keberangkatan Tuanku dalam program anjuran JAIPk, persembahan seni silat sentiasa mengiringi pembukaan majlis sebagai lambang warisan budaya bangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian Himpunan Anak-Anak Gayong Serantau dan Semalaysia Edisi Ketiga di Dewan Serbaguna Masjid Muhammadiah, Taman Tasek Jaya di sini pada Ahad.
Hadir sama pada majlis itu, Waris Amanah Mahaguru Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia (PSGSM), Prof Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain dan Yang Dipertua PSGSM Perak, Hasnul Fairuz Hushin Amri.

Katanya, melalui jawatankuasa masjid masing-masing, pihak jawatankuasa perlu dimaklumkan bahawa pembukaan cawangan-cawangan silat ini adalah sebagai menjunjung titah Sultan Perak serta arahan daripada MAIPk.
“InshaAllah, pada bulan Disember, MAIPk dengan kerjasama JAIPk akan melaksanakan Program Marhaban dan Berzanji peringkat negeri bagi memperkasakan lagi warisan budaya serta memperkukuh identiti bangsa Melayu kita,” jelasnya.
Mohd Kamal berkata, setakat ini terdapat beberapa masjid yang mempunyai gelanggang silat termasuk di Masjid Muhammadiah dan Masjid Al-Fateh, Taman Jati. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
JAIPk pantau, teliti insiden tanah perkuburan terjejas banjir di Trong


