BATU GAJAH – Suasana malam di Silverlakes Village Outlet (SVO) di sini, berubah wajah apabila dihiasi lebih 150,000 kuntum bunga ros, tulip dan pokok padi bercahaya penuh berwarna-warni yang menerangi kawasan berkenaan sempena Pesta Flora Berlampu.
Mengambil masa 10 hari dengan 12 pekerja untuk menyiapkan kerja-kerja pemasangan lampu, pesta yang bermula sejak 10 Februari lalu dan berakhir 10 Mac depan itu turut membawakan itik gergasi terapung setinggi 10 meter serta 1,300 lampu kelip-kelip yang menghiasi tasik di kawasan itu.
Selain itu, orang ramai boleh menguji kekuatan lantunan suara mereka menerusi ‘screaming fountain’ yang mampu menghasilkan pancutan air setinggi 50 meter.
Pengurus Pesta Flora Berlampu, Zul Aiman Muhamad, 35, berkata, pesta yang pertama kali dianjurkan di SVO ini menjadi salah satu tarikan terbaharu sempena perayaan Tahun Baharu Cina dan musim cuti sekolah.
Menurutnya, pihaknya menyasarkan seramai 100,000 pengunjung dari seluruh Malaysia sepanjang pesta ini berlangsung selama sebulan.
“Sebelum ini, kami pernah menganjurkan Pesta Cahaya Sains Angkasa di padang Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) bertemakan angkasawan pada September tahun lalu.
“Pada tahun ini kami mencipta kelainan dengan mengetengahkan konsep flora. Memandangkan Malaysia tiada bunga tulip, kami bawakan bunga tulip berlampu seolah-olah berada di Pesta Bunga Tulip di Keukenhof, Belanda.
“Justeru, pengunjung boleh merasai sendiri pengalaman bermandikan cahaya lampu serta merakamkan memori indah di sepanjang laluan sejauh 1.5 kilometer itu,” katanya ketika ditemui MG Perak.
Dalam pada itu, Zul Aiman berkata, setakat ini pihaknya belum bercadang untuk melanjutkan pesta tersebut sehingga ke perayaan Aidilfitri.
“Pada masa ini, kami tetapkan sehingga 10 Mac sahaja namun ada permintaan orang ramai untuk teruskan kerana ada yang baru balik dari cuti tahun baharu Cina tidak berkesempatan untuk singgah ke sini.
“Memang terdapat perancangan untuk meneruskan pesta cahaya ini tetapi keputusannya belum dibuat,” jelasnya.
Beliau berkata, selain menikmati keindahan cahaya lampu, terdapat tarikan lain yang diadakan di kawasan berkenaan termasuklah Soopa Doopa dan kereta LED untuk kanak-kanak.
“Pengunjung yang ingin menghilangkan rasa lapar dan dahaga juga boleh singgah ke gerai-gerai yang dibuka di sekitar kawasan tersebut,” ujarnya.
Orang ramai yang berminat, boleh mendapatkan tiket masuk berharga RM10 untuk dewasa, RM8 untuk kanak-kanak manakala orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak berusia dua tahun ke bawah adalah percuma.
Pesta ini berlangsung setiap hari bermula dari jam 6 petang sehingga 12 tengah malam. – MG Perak
Artikel Berkaitan: