Sindiket salah guna pas PRA, Sistem Maid Online tumpas

KUALA LUMPUR – Seramai 16 individu yang menjalankan kegiatan penyalahgunaan pas serta manipulasi sistem permohonan Pembantu Rumah Asing (PRA) secara dalam talian dicekup dalam dua operasi khas berasingan di Johor pada Isnin dan Selasa lalu.

Kesemua mereka merupakan warganegara asing manakala seorang lagi lelaki tempatan.

Operasi yang digerakkan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Imigresen (JIM) Johor itu dilaksanakan hasil risikan terperinci serta pemantauan berterusan selama dua bulan menggunakan pendekatan penguatkuasaan pintar (smart enforcement).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam operasi pertama pada Isnin di sekitar Taman Setia Tropika, Johor Bahru, pasukan operasi menahan 11 warganegara asing terdiri daripada lapan wanita Thailand, dua wanita Vietnam dan seorang lelaki Vietnam.

Semakan awal mendapati, berlaku kes tinggal lebih masa serta penyalahgunaan Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) kategori PRA untuk bekerja sebagai pelayan di sebuah premis hiburan. Pasukan turut menyita beberapa pasport asing, peralatan rakaman digital, telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM3,025 yang dipercayai hasil kegiatan tersebut.

“Premis terbabit dipercayai menawarkan khidmat pelayan warga asing dengan bayaran serendah RM250 dan telah beroperasi kira-kira setahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam operasi kedua pada Selasa pula di sekitar Batu Pahat, Skudai dan Johor Bahru, Zakaria memaklumkan, pihaknya berjaya menumpaskan sindiket yang menyalahgunakan kemudahan permohonan Sistem Maid Online (SMO).

Beliau menjelaskan, seramai lima wanita warganegara asing ditahan, terdiri daripada empat warga Vietnam dan seorang warga Indonesia.

Turut ditahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai dalang utama sindiket berkenaan.

Siasatan awal mendapati sindiket tersebut mengemukakan maklumat serta dokumen disyaki palsu bagi mendapatkan kemudahan PLKS kategori PRA untuk individu yang tidak memenuhi syarat kelayakan. Sindiket berkenaan dipercayai mengenakan bayaran RM6,000 bagi setiap individu.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 termasuk Seksyen 6(3), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 56(1)(k).

“Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Imigresen Setia Tropika, Johor untuk tindakan lanjut, manakala beberapa warganegara tempatan turut diberikan notis hadir bagi membantu siasatan,” ujar beliau.

Katanya lagi, kejayaan dua operasi itu membuktikan JIM bukan sahaja mempergiat penguatkuasaan di lapangan malah memantau secara digital bagi memastikan sistem imigresen negara tidak dimanipulasi sindiket.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menyalahgunakan kemudahan imigresen negara demi memelihara integriti sistem dan keselamatan negara selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.

“Orang ramai digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang imigresen,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI