Sistem Kejara gagal, perlu rombak besar-besaran – Anthony

SHAH ALAM – Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) yang digunakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika ini tidak efektif dan gagal menggalakkan orang ramai daripada membayar kompaun lalu lintas.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia kerana mata demerit hanya akan dipotong ke atas pemegang lesen memandu yang sah sekiranya bayaran kompaun dibuat.

“Sistem Kejara masih aktif tapi kita kena rombak besar-besaran, ia tidak efektif langsung sekarang, markah hanya akan ditolak selepas dia bayar saman.

“Kalau dia belum bayar saman, dia belum (markah tidak ditolak), dalam sistem itu, hanya bila saman itu dibayar, dianggap dia melakukan kesalahan, baru markah akan ditolak.

“Masalah kita, ramai orang tak bayar saman, sebab itu saya kata sistem itu gagal,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tahap keberkesanan sistem Kejara dalam mengekang pemandu yang mempunyai rekod lampau khususnya membabitkan bas persiaran dan bas ekspres dalam kemalangan maut di Gerik, Kelantan pada Isnin lalu.

Anthony sedia menerima kritikan daripada kelemahan dan kegagalan sistem sedia ada di Kementerian Pengangkutan yang perlu kepada penambahbaikan.

“Saya terbuka sebagai Menteri Pengangkutan, saya mengakui sistem Kejara ini gagal, sebab kita guna pendekatan salah.

“Sebab dia bayar saman, baru potong markah, jadi lebih baik ramai tak bayar saman sekarang.

“Kita akan teruskan tetapi kita akan buat rombakan, tapi bukan lagi bila bayar saman baru potong markah (demerit point), itu kita kena lihat dari segi perundangan dan sebagainya, semua itu ada implikasi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI