IPOH – Orang ramai meluahkan rasa kecewa kerana tidak dapat menuntut bantuan RM100 menerusi Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) disebabkan masalah yang berlaku pada sistem terminal MyKasih.
Tinjauan Malaysia Gazette (MG) Perak di Pasar Raya Besar Mydin Meru Raya, di sini mendapati orang ramai terpaksa meninggalkan troli yang penuh dengan pelbagai barangan selepas mendapati sistem tersebut mengalami masalah.
Perkara itu dipercayai berlaku akibat jumlah transaksi yang terlalu tinggi sejak jam 9 pagi menyebabkan sistem berkenaan tidak stabil.
Ini adalah hari kedua masalah tersebut berlaku selepas orang ramai berhadapan dengan situasi sama semalam.
Pengurus lori, K Gobi, 52, dari Tasek berkata, dia dan isteri memang datang ke pasar raya tersebut untuk membeli barangan keperluan menggunakan bantuan SARA namun masalah sistem yang melanda telah membantutkan hasrat mereka.
“Memang kita datang ke sini hendak beli barang MyKasih tetapi waktu menunggu terlalu lama disebabkan sistem bermasalah, jadi kami terus tidak jadi beli (barang) yang diperlukan.
“Saya berharap pihak yang berkaitan melakukan sesuatu supaya sistem tersebut berjalan lancar serta memudahkan urusan pembelian kami,” katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.
Bagi Nur Solehantul Amirah Haripin, 34, pula berkata, dia bersama enam ahli keluarga lain datang ke pasar raya tersebut sekitar jam 2 petang.
“Bila kami bawa troli ke kaunter, pekerja memaklumkan tidak boleh bayar guna MyKasih. Bagaimanapun, saya tetap membeli barang-barang seperti beras, sabun basuh baju, mi segera dan minyak masak menggunakan kad Perak Prihatin.
“Saya akan cuba untuk datang ke sini lain kali untuk membeli barang menggunakan bantuan tersebut,” ujarnya yang menetap di Silibin.
Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad di bawah program SARA sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025.
Pemberian itu bertujuan untuk meringankan beban kos sara hidup, selain sebagai penghargaan kepada rakyat yang memberi manfaat kepada 22 juta penduduk dengan peruntukan RM2 bilion. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Warganegara dewasa terima RM100 sekali beri melalui MyKad mulai 31 Ogos – PM Anwar