Sistem MyQ@UPSI bantu tingkat mutu auditan kualiti dalaman

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperkenalkan Sistem MyQ@UPSI bagi memantapkan proses kerja serta mempertingkatkan mutu auditan kualiti dalaman khasnya dalam memastikan pengekalan pensijilan ISO 9001:2015.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, pembangunan sistem berkenaan dianggap unik ekoran melibatkan kerjasama antara pusat-pusat tanggungjawab UPSI.

Beliau berkata, antaranya Bahagian Pengurusan Kualiti (BPQ), alumni Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, Lead Auditors, Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Institut Pengajian Siswazah (IPS) dan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC).

“Kolaborasi merentas kepelbagaian ekosistem di UPSI ini membuktikan tiada yang mustahil dan sinergi berteraskan sifat kekeluargaan yang amat membanggakan, malah semangat inilah menjadi kekuatan utama UPSI dan perlu dicontohi semua pihak.

“Pendekatan inovatif menerusi Sistem MyQ@UPSI untuk capaian maklumat dan dokumen bakal menjadi lebih mudah dan meningkatkan lagi kecekapan dalam aspek pengurusan kualiti.” katanya.

Beliau berkata demikian Ketika berucap pada Majlis Peluncuran Sistem MyQ@UPSI dan Aspirasi Juruaudit Kualiti Dalaman ISO di Dewan Muallim, Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengurusan Kualiti Profesor Madya Ts Dr Muhammad Modi Lakulu berkata, sistem berkenaan akan membantu mempertingkatkan kecekapan dalam akses dokumen-dokumen penting yang kebiasaanya dirujuk untuk keperluan auditan.

“Uniknya sistem ini mengintegrasikan data-data daripada pelbagai sistem yang dibangunkan secara dalaman oleh Pusat Tanggungjawab di universiti seperti Sistem MyGURU, UniSIS, UniHRIS, MyUPSI Portal, dan RiMS ,” katanya.

Beliau berkata, inovasi yang dibangunkan dengan menggunakan kepakaran dalaman ini selaras dengan pendigitalan proses kerja di UPSI.

Katanya lagi, penggunaan Sistem MyQ@UPSI adalah alternatif digital menggantikan fail konvensional serta storan dalam talian Google Drive sekali gus mempertingkat keselamatan data UPSI.

“Sistem ini akan diperluaskan lagi bagi tujuan pemantauan program-program akademik UPSI dalam usaha memperkasa jaminan kualiti akademik universiti.

“Inovasi yang dilaksanakan ini akan memberi kemudahan kepada kakitangan khasnya pensyarah, pentadbir, pihak pengurusan dan Juruaudit Kualiti UPSI di samping mendokong hasrat kampus hijau,” tambahnya. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI