Sistem Pangkalan Data Seni Kreatif Perak sedang dibangunkan

IPOH – Kerajan Negeri melalui People Of Remarkable Talents (PORT) sedang membangunkan Sistem Pangkalan Data Seni Kreatif Perak.

Ahli Lembaga Pengarah PORT, Mohamad Hamidi Baharuddin berkata, pangkalan data berkenaan merupakan platform komprehensif menghimpunkan maklumat para penggiat seni kreatif di negeri ini.

Menurut Mohamad Hamidi, usaha berkenaan amat penting bagi membolehkan kerajaan merancang dasar, mengenal pasti bakat, menyalurkan bantuan serta memetakan potensi industri kreatif secara lebih teratur.

“Saya mengalu-alukan penyertaan semua penggiat seni kreatif negeri Perak untuk mendaftarkan diri serta mempromosikan inisiatif kerajaan ini supaya pangkalan data tersebut menjadi lebih lengkap dan mewakili seluruh ekosistem kreatif Perak.

“Semakin banyak data yang dapat kita kumpulkan, semakin tepat dan strategik usaha pembangunan industri kreatif yang boleh kita laksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Pelancaran Buku Ipoh Music Symposium 2024 ‘Ritma Atas Puisi: Muzik RAP dan Budaya Hip Hop’ di Restoran Hadramout Paradise, di sini, pada Sabtu.

Mohamad Hamidi yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Perak berkata, Kerajaan Negeri Perak melalui PORT sentiasa komited menyokong pembangunan sektor kreatif dengan menjadi pemangkin kepada pelbagai program penting yang memberi tumpuan kepada seni secara keseluruhan termasuklah seni muzik dan pembangunan modal insan kreatif.

Jelas beliau, antaranya termasuklah Ipoh Music Symposium, yang menjadi platform penyelidikan dan perbincangan akademik; Dana Kreatif Perak, yang membantu membiayai projek seni dan inovasi kreatif rakyat negeri; Arkib Muzik Perak, yang mendokumentasikan khazanah muzik negeri serta Portcast, yang menjadi ruang suara dan penceritaan kreatif kepada pejuang seni muzik.

“Semua inisiatif ini bukan sahaja membina ekosistem seni yang lebih kukuh, tetapi secara langsung menyokong kedudukan Ipoh sebagai sebuah bandar kreatif muzik yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Kita mahu memastikan bahawa pembangunan industri kreatif di Perak bukan sekadar bersifat acara semata-mata, tetapi mempunyai asas data, dokumentasi dan penyelidikan yang mantap,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI