TAIPING – Sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan baik didakwa antara punca berlakunya banjir di Taman Simpang Makmur, Simpang di sini semalam.
Seorang penduduk, Mat Shahar Daud, 67, berkata, kawasan perumahan yang didiaminya itu berdepan banjir buat kali kedua dalam tempoh sebulan dan keadaan lebih buruk berbanding sebelumnya.
“Saya rasa sedih dan kecewa juga dengan keadaan perparitan di sini. Saya fikir parit atau sungai, di situ tidak dapat menampung air,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang, di sini pada Jumaat.
Menurutnya, banjir kali kedua ini turut menyebabkan banyak barangan rumah seperti perabot, peralatan elektrik serta kenderaan rosak teruk selepas air naik secara mengejut.
Tambahnya, penduduk tidak menyangka banjir akan berulang selepas kejadian pertama reda dan telah menggantikan semula barangan yang rosak, namun kejadian kali ini menyebabkan kerugian berganda.
“Banyak peralatan di rumah hampir musnah dari segi barang elektrik, perabot dan pelbagai. Kenderaan pun tak sempat dipindahkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia turut menyuarakan kebimbangan dengan keadaan cuaca yang masih tidak menentu dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan baik.
“Kami nak minta sistem perparitan tu diselenggarakan. Diselenggarakan. Kalau sistem perparitan itu orang kata cantik, air pun akan berjalan dengan lancar,” katanya.
Mat Shahar turut menegur sikap segelintir pihak yang hanya membersihkan parit ketika musim hujan, sedangkan kerja penyelenggaraan sepatutnya dilakukan secara berkala.
Selain itu, dia turut mendakwa keadaan parit dan jambatan yang dipenuhi sampah serta sisa pokok menyebabkan aliran air tersekat.
“Macam semalam saya tengok dekat jambatan itu penuh dengan sampah. Jadi satu arus air yang jalan tak lancar,” jelasnya.
Sehubungan itu, Mat Shahar berharap pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) segera turun padang untuk memantau keadaan perparitan di kawasan tersebut sebelum masalah banjir menjadi lebih serius.
Sehingga jam 4 petang, jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS SK Simpang telah menurun kepada 398 orang melibatkan 127 keluarga. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
‘Yang penting anak dulu’ – Ibu berpantang selamatkan bayi empat hari


