IPOH – Sistem Perpustakaan Berpusat Politeknik dan Kolej Komuniti serta Data Dashboard Aplikasi iPOLYCC bakal memberi manfaat kepada 100,000 pengguna dalam usaha membudayakan digitalisasi ekosistem politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) di Malaysia.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Muhamad Rumzi Mamat berkata, sistem tersebut dibangunkan sejak 2023 dan mula diguna pakai pada tahun ini.
“Penggunaan sistem itu adalah salah satu usaha memperkasa transformasi digital sektor pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
“Ini selaras dengan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA) 2021-2025 dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).
“Sistem yang dibangunkan menggunakan sistem sumber terbuka KOHA (perisian terbuka) itu adalah langkah strategik ke arah mewujudkan perpustakaan digital bersifat inklusif dan mampan.
“Di samping itu, pengguna dapat menerima pelbagai kemudahan melalui sistem tersebut antaranya termasuklah menerusi carian bahan bacaan dan akses kepada repositori kandungan tempatan,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Sistem Perpustakaan Berpusat Politeknik dan Kolej Komuniti serta Data Dashboard Aplikasi iPOLYCC di Perpustakaan Tan Sri Othman Merican, Politeknik Ungku Omar (PUO), di sini pada Isnin.
Hadir sama, Pengarah PUO, Dr Shamsuri Abdullah.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhamad Rumzi berkata, Data Dashboard Aplikasi iPOLYCC pula adalah perisian terkini pengurusan data secara masa sebenar (real-time) berkaitan POLYCC.
Katanya, sistem tersebut menyediakan maklumat terkini institusi seperti bilangan pelajar, statistik kakitangan serta data pengurusan institusi secara komprehensif.
“Selain itu, ia memanfaatkan data dari Sistem Pengumpulan Data Universiti Awam (MyMoheS) Kementerian Pendidikan Tinggi yang dikemas kini empat kali setahun.
“Sistem ini bakal memberi manfaat kepada warga POLYCC dalam meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan serta melestarikan budaya pembelajaran sepanjang hayat.
“Peluncuran sistem ini dilihat sebagai langkah signifikan dalam memperkukuh agenda pendigitalan serta kesediaan POLYCC menghadapi cabaran masa depan bagi memacu kecemerlangan pendidikan TVET negara,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PUO politeknik pertama dilantik Pusat Penilaian APEL.A