Siti Bainun kekal di penjara, Mahkamah Rayuan tolak rayuan akhir

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan akhir pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali dan mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun terhadapnya atas kesalahan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down, Bella.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz yang mendapati tiada sebarang kekhilafan fakta atau undang-undang dalam penghakiman Mahkamah Tinggi yang sebelum ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.

Azman ketika membacakan keputusan berkata, selepas meneliti keseluruhan keterangan pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati kes terhadap Siti Bainun telah dibuktikan melampaui keraguan munasabah bagi kedua-dua pertuduhan.

“Perayu gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, dan sabitan bagi kedua-dua pertuduhan adalah dikekalkan,” katanya hari ini.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang ketika itu berusia 13 tahun antara Februari hingga Jun 2021 di sebuah kondominium di Wangsa Maju.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 3 Mei 2023 menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun, memerintahkan bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan cagaran RM5,000 serta khidmat masyarakat 200 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Siti Bainun yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak dua tahun lalu pernah memohon penangguhan pelaksanaan hukuman namun permohonan itu ditolak. Rayuan di Mahkamah Tinggi pada 2 Mei 2024 juga gagal sebelum beliau membawa kes ke Mahkamah Rayuan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI