IPOH – Situasi banjir di Negeri Perak menunjukkan perkembangan baik selepas dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Daerah Kinta ditutup pada Selasa.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, PPS Dewan Serbaguna Tanjung Tualang dan PPS Sekolah Kebangsaan St Paul masing-masing ditutup pada jam 2 petang dan 4 petang.
“Setakat ini hanya sebuah PPS yang masih beroperasi iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Teluk Kepayang Bota di Daerah Perak Tengah.
“Seramai 34 mangsa daripada 11 keluarga berlindung di PPS berkenaan yang dibuka sejak 2 Disember lalu,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Sementara itu tambahnya, Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) memaklumkan, aras air di Sungai Perak di empat lokasi di negeri ini melepasi tahap normal.
Katanya, aras sungai di Stesen Sungai Rui di Hulu Perak berada pada tahap bahaya dengan bacaan 166.05 meter, sementara aras air sungai di Stesen Plus di Kampung Lintang di Kuala Kangsar merekodkan tahap amaran (54.30 meter).
“Aras sungai di dua stesen di Perak Tengah merekodkan bacaan tahap waspada masing-masing di Stesen Sungai Perak Teluk Sena iaitu 11.06 meter dan Stesen Sungai Perak Kampung Gajah (6.52 meter),” katanya lagi. – MG Perak
Artikel berkaitan: