Situasi banjir semakin baik, jumlah mangsa terus menurun

IPOH – Situasi bencana banjir di Negeri Perak menunjukkan pemulihan dan baik selepas jumlah mangsa merekodkan pengurangan daripada 100 kepada 78 orang setakat tengah hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan, jumlah mangsa banjir itu melibatkan 24 keluarga daripada daerah Taiping dan Kuala Kangsar.

Katanya, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Taiping iaitu PPS Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Baru Trong telah ditutup jam 10 pagi selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing di Kampung Sungai Baru.

“Setakat ini di Taiping, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Matang masih menempatkan 11 mangsa banjir daripada tiga keluarga, 27 mangsa daripada 13 keluarga (PPS SK Temerlok Trong), serta 12 mangsa daripada dua keluarga (PPS Dewan Orang Ramai Batu Hampar, Trong).

“Sementara di Kuala Kangsar, PPS Dewan Orang Ramai Kampung Talang Masjid masih menempatkan 28 mangsa daripada enam keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Sementara itu tambahnya, berdasarkan data daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) paras sungai di 18 stesen dan dua empangan menunjukkan situasi normal.

Kenyataan itu turut memberitahu, dua jalan iaitu Jalan Raya Timur Barat (JRTB) menghubungkan Kupang Gerik ke Jeli dan Jalan Felda Trolak Selatan, masing-masing dibuka satu lorong akibat kejadian tanah runtuh. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Mangsa banjir di Perak menurun pagi ini, 100 mangsa masih di PPS

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI