KUALA LUMPUR – Situasi ekonomi di Malaysia sekarang tidak sama seperti yang berlaku tahun 1998, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menjelaskan keadaan ekonomi negara kini memperlihatkan nilai pelaburan dalam negara adalah tertinggi yang pernah dicatatkan.
“Ringgit ada kesan dia dan saya tidak mengatakan tidak harus dipantau oleh Bank Negara tetapi (sektor) eksport itu baik kerana syarikat pengeksport dia sangat senang tetapi sebaiknya ringgit itu agak terkawal.
“Tetapi mengapa harus dilihat hanya daripada segi ringgit dan dibandingkan dengan 1998 (krisis kewangan Asia) kerana sepertimana yang saya sebut tadi ringgit jatuh pelaburan jatuh, inflasi naik jadi dia (kesan kejatuhan ringgit 2024) tidak sama.
“Pelaburan kita angka terakhir yang diumumkan semalam selepas mesyuarat Majlis Pelaburan Negara adalah tertinggi dalam sejarah pelaburan Malaysia.
“Kalau keyakinan itu kurang kerana ringgit (jatuh) dia tidak akan ada pelaburan seperti ini,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Tun Razak Exchange sebagai Pusat Kewangan Malaysia di The Exchange 106 hari ini.
Hadir sama adalah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Bagaimanapun, Anwar mengakui kejatuhan nilai ringgit agak membimbangkan dan kerajaan sedang memantau perkembangan terkini mengenai perkara tersebut.
“Ia membimbangkan, kerajaan sedang memerhatikannya dan kita bernasib baik kerana ia sedikit bertambah kuat.
“Tetapi lihatlah keseluruhannya, pelaburan yang masuk adalah terbesar dalam sejarah negara ini, inflasi terus menurun dan pengangguran menurun, pertumbuhan yang dapat kami pertahankan berbanding dengan jiran-jiran kami,” jelas Anwar lagi.
Beliau membuat penjelasan berkenaan selepas dikritik kerana enggan menjelaskan mengenai kejatuhan ringgit pada satu majlis di Sasana Kijang.
Beliau bagaimanapun berkata, persoalan itu akan dijawab oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour yang membuat kenyataan pada sebelah petangnya dan menegaskan prestasi semasa ringgit dipengaruhi oleh faktor luaran sama seperti mata wang serantau lain.
Abdul Rasheed dalam kenyataan itu menjelaskan sebahagian daripada faktor itu termasuk pelarasan pasaran kepada perubahan jangkaan kadar faedah Amerika Syarikat, kebimbangan geopolitik dan ketidaktentuan yang menyelubungi prospek ekonomi China.
Tambah beliau, pertumbuhan pada 2024 akan dipacu oleh peningkatan dalam permintaan luar dan perbelanjaan domestik yang kukuh. – MalaysiaGazette