KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mendedahkan maklumat yang diterimanya sebelum insiden serangan ke atas anak lelakinya adalah berkaitan urus niaga syarikat milik bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Farhash Wafa Salvador.
“Maklumat yang diberikan adalah bersabit Farhash Wafa Salvador, bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengenai urusniaga syarikat-syarikatnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rafizi menegaskan, maklumat itu tidak ada kena mengena dengan mana-mana ahli politik lain termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (KJ) seperti yang tersebar.
Beliau berkata demikian susulan tuduhan yang berlegar selepas beliau mendedahkan pernah bertemu pemberi maklumat mengenai skandal tersebut seminggu sebelum anaknya diserang.
“Selepas kenyataan itu, saya lihat tiba-tiba ada tuduhan-tuduhan yang berlegar. Tuduhan pertama, kononnya saya sedang meneliti satu kes yang melibatkan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, konon melibatkan wang yang dicuci di luar negara.
“Tuduhan terkini, kononnya saya sedang meneliti satu lagi kes melibatkan Saudara Khairy Jamaluddin dan projek-projek semasa beliau menjadi Menteri Kesihatan. Kedua-dua tuduhan ini tidak benar,” jelasnya.
Menurut Rafizi, cubaan mengaitkan nama Ismail Sabri dan Khairy dalam isu itu adalah usaha mengalihkan perhatian masyarakat daripada perkara sebenar yang sedang disiasat.
“Ada yang cuba kaitkan serangan ke atas anak saya dengan Ismail Sabri atau KJ. Saya tak selidik atau sentuh kedua-duanya, ini cubaan jahat mengalihkan perhatian,” ujarnya.
Insiden serangan ke atas anaknya minggu lalu turut disusuli dengan mesej ugutan supaya beliau berdiam diri mengenai isu berkenaan.
Rafizi dalam masa sama menyokong penuh keputusan Ismail Sabri untuk membuat laporan polis berhubung penyebaran berita palsu itu, sambil menegaskan kebenaran perlu ditegakkan bagi mengelakkan manipulasi isu.
Rafizi sebelum ini tidak menolak kemungkinan serangan dibuat terhadap anak lelakinya semalam disebabkan pertemuannya bersama satu kumpulan pendedah maklumat atau whistleblower berkait sebuah skandal.
Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa, ia juga adalah cubaan untuk menutup mulutnya mengenai perkara berkenaan. – MalaysiaGazette