IPOH – Teknologi Smart Leakage Control System (SLCS) membawa tuah kepada Kolej Komuniti (KK) Pasir Salak apabila diumumkan tempat pertama Anugerah Inovasi Lestari Bumi Hijau pada Majlis Anugerah Inovasi Negeri Perak 2025 baru-baru ini.
Inovasi itu dibangunkan sekumpulan lima kakitangan kolej tersebut yang dianggotai Muhamad Asrul Affendi Mat Nor, Farah Waheda Othman, Muhammad Ibrahim Mohd Aminuddin, Nurhan Ayub dan Asmarul Shazila Adna.
Kejayaan tersebut embolehkan mereka membawa pulang RM10,000, trofi serta sijil penyertaan yang disampaikan oleh Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim yang mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada majlis yang diadakan di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.
Muhamad Asrul Affendi berkata, idea untuk menghasilkan teknologi itu tercetus apabila melihat penggunaan penyaman udara yang melepaskan gas klorofluorokarbon (CFC) antara punca penipisan ozon berlaku.
Menurutnya, keadaan ini amat membimbangkan kerana setiap isi rumah pada masa kini menggunakan alat pendingin hawa di kediaman masing-masing.

“Hasil brainstorming (sumbang saran) yang diadakan kami mencari solusi terbaik bagaimana untuk mengelakkan perkara itu jika berlakunya kebocoran gas pada pendingin hawa itu bocor sehingga melepaskan gas ke udara sehingga menyebabkan penipisan ozon.
“Menerusi SLCS, gas yang sepatutnya keluar secara bebas akan disimpan balik ke dalam pendingin hawa jika berlaku kebocoran. Itulah hasilnya yang kami buat untuk mengelakkan pelepasan gas secara menyeluruh ke ruang udara,“ katanya.
Katanya, inovasi yang dibina untuk menjadi sistem keselamatan dalaman itu turut dilengkapi ciri pemantauan pintar menerusi integrasi telefon pintar yang membolehkan pengguna menerima makluman awal jika terdapat kebocoran atau kerosakan pada unit penyaman udara.
“Kami mulanya membuat projek ini sekitar enam tahun lalu dan pada asalnya ia hanya hardware (perkakasan) kemudian diikuti beberapa uji kaji seperti kebocoran, pengukuran keluaran gas serta menambah baik produk tersebut mengikut keperluan semasa,” ujarnya.
Beliau turut berharap, prototaip inovasi tersebut dapat dikomersialkan serta mereka yang terlibat dalam sektor penyaman udara dapat bekerjasama dalam merealisasikan perkara tersebut. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


