PARIT – Penganjuran Program Youth Smart Money Fest 2025 oleh Dewan Belia Perak membantu mewujudkan kesedaran pengurusan kewangan dalam kalangan generasi muda.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, program berkenaan turut mendapat kerjasama daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar.
Menurut beliau, seramai 165 pelajar sekolah serta institusi pengajian tinggi (IPT) telah mengikuti program yang seiring dengan hasrat Pelan Perak Sejahtera 2030 itu.

“Program ini turut melibatkan perkongsian ilmu daripada pelbagai jabatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) yang menceritakan betapa pentingnya orang muda mempunyai ilmu berkaitan penguruan kewangan.
“Selain itu mereka turut didedahkan dengan perancangan kehidupan agar golongan ini mempunyai pandangan dan pengetahuan bagaimana menguruskan kewangan dengan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Program Youth Smart Money Fest 2025 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, di sini, pada Jumaat.

Ditanya sama ada Youth Smart Money Fest akan diteruskan di IPT seluruh Perak Khairudin berkata, pihaknya akan melihat keberkesanan program berkeaan terlebih dahulu.
“Kita akan lihat dari segi keberkesanan program ini kerana ia melibatkan bukan hanya sebuah IPT tetapi ramai pelajar seperti UiTM, UTP dan pelajar tingkatan enam.
“Ini kerana mereka merupakan antara pemimpin yang cukup terdedah dengan anasir-anasir di hujung jari ini,” katanya. -MG Perak


