GERIK – Wanita UMNO Perak mengambil pendirian positif terhadap keputusan PAS untuk turut menyertai perhimpunan solidariti kepada Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya pada Isnin depan.
Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, walaupun tidak dapat menafsir niat sebenar disebalik perkara tersebut, namun ia menunjukkan tanda sokongan keadilan kepada Bekas Perdana Menteri itu merentasi fahaman parti politik.
Katanya, kesediaan pelbagai pihak untuk menyertai perhimpunan Solidariti 4 Najib Razak nanti juga sebagai bukti mereka mengharapkan keadilan undang-undang kepada Najib.
“Mahu memberi sokongan kepada Najib sudah tentu perkara yang bagus, akan tetapi agenda di belakang itu kita tak tahu.
“Namun yang penting apabila PAS mengambil pendirian itu, maka mereka juga menyedari apa yang yang dilakukan Najib selama ini adalah suatu tindakan yang benar. Jika tidak, mengapa tiba-tiba beri sokongan.
“Sebelum ini mereka mendakwa Najib melakukan perkara yang salah dan sebagainya. Dan pada hari ini, mereka sendiri mahu memberi sokongan kepada beliau. Ini bermakna mereka ingin menyatakan sokongan kepada orang yang betul,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui kepada pemberita pada Program Cakna Komuniti: SKM Prihatin, Skuad Ihsan Madani dan Program Pemberian Cermin Mata di Dewan Sekolah Kebangsaan Pahit, dekat sini, pada Jumaat.
Salbiah diminta mengulas berkenaan perhimpunan Solidariti 4 Najib Razak yang akan diadakan di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin nanti.
PAS dilaporkan menggalakkan ahlinya untuk menyertai himpunan itu kerana berpandangan ia sudah menjadi isu rakyat seperti yang dibincangkan di Parlimen sebelum ini.
Dalam pada itu Salbiah yang juga Exco Perak berkata, dianggarkan 500 anggota Wanita UMNO Perak dianggarkan akan menyertai himpunan berkenaan.
“Kita akan hadir memberi sokongan kepada Najib, dan Wanita UMNO Perak melalui bahagian masing-masing akan bergerak sama ada dengan bas mahupun kenderaan persendirian,” ujarnya.
Mahkamah Rayuan sebelum ini dilaporkan menetapkan 6 Januari depan sebagai tarikh untuk mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan Najib untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.
Susulan itu, himpunan di di Istana Kehakiman terbabit dianjurkan sebagai bentuk sokongan daripada ahli UMNO terhadap Najib yang juga bekas presiden parti itu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pengampunan Diraja: Istana Negara keluar kenyataan
Perhimpunan solidariti untuk Najib bukan agenda politik – Fariz