KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan rakyat Malaysia akan hidup bersama virus Covid-19 seperti mana virus berjangkit lain.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat pasca Kabinet yang dibuat kementerian itu minggu lalu.
“Dalam mesyuarat pasca Kabinet baru-baru ini, KKM memutuskan bahawa kita akan hidup dengan virus Covid-19 dan segala SOP sudah ditamatkan.
“Kita mengambil sikap untuk memulakan fasa hidup dengan virus berkenaan seperti yang lain seperti influenza, chikugunya yang kita perlu turunkan kes,” katanya dalam sidang media di ibu negara, hari ini.
Dzulkefly sebelum itu hadir merasmikan program gotong-royong mega perangi Aedes 1.0 peringkat kebangsaan di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Desa Setia Wira di sini.
Justeru itu, Dzulkefly berkata, rakyat akan menjalani kehidupan normal dan berjumpa doktor sekiranya didapati bergejala Covid-19.
“Kalau bergejala pergi untuk dapatkan konsultasi doktor dan rawatan.
“Kalau di luar pakai pelitup muka dan guna cecair pembasmi kuman dan itu semua sudah normal sebab kita sudah hidup bersama virus Covid-19,” jelas Dzulkefly lagi.
Malah Dzulkefly turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka akan kes positif Covid-19 dengan melayari laman web KKM.
“Apa yang mustahak untuk saya cadangkan adalah supaya rakyat sentiasa peka untuk layari laman web data moh.gov.my.
“Di sana ada dashboard untuk semua pihak pantau real time (masa sebenar) status mutakhir Covid-19,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
Artikel Berkaitan:
Peningkatan kes Covid-19 tidak jejas Tahun Melawat Perak 2024