Sorok 52 kg minyak masak paket, peniaga bakal didenda RM1 juta

TANJUNG MALIM – Tindakan peniaga di sebuah pasar mini dekat sini, menyorokkan 52 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi membawa padah apabila diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan yang dilakukan kira-kira jam 12 tengah hari itu susulan maklumat dan aduan awam yang mendakwa peniaga enggan menjual barangan subsidi itu ketika diminta.

Katanya, susulan itu sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Perak melakukan uji beliu melalui Ops Samar.

“Semasa uji beli dilakukan, jurujual memaklumkan bahawa minyak masak telah habis dijual.

“Susulan kenyataan tersebut, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN beruniform kemudiannya telah masuk ke dalam premis dan memeriksa premis terbabit.

“Hasilnya, telah ditemui sejumlah minyak masak paket yang disimpan di ruang kaunter premis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Tambah Kamalludin, ekoran itu arahan pengisytiharan stok di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah diberikan kepada penyelia premis terbabit.

Ujar beliau, kesemua minyak masak paket berkenaan yang dianggarkan bernilai RM130 disita untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurut Kamalludin, di bawah akta berkenaan, jika sabit kesalahan, seseorang selain dari badan korporat boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya.

“KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam aktiviti atau sindiket penyalahgunaan barang-barang kawalan seperti minyak masak paket ini.

“Justeru itu, KPDN akan memastikan tindakan lebih tegas (bagi membendung aktiviti berkenaan) termasuklah pendakwaan di mahkamah,” ujarnya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Jual minyak masak bersyarat, KPDN ambil tindakan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI