IPOH – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) terus komited memperkukuh peranannya sebagai agensi utama dalam urusan pelantikan ke perkhidmatan awam melalui pewujudan serta penambahbaikan fasiliti temu duga di seluruh negara, termasuk di negeri Perak.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata, berdasarkan statistik tahun 2024, SPA telah melaksanakan sebanyak 137 urusan temu duga di Perak, melibatkan seramai 12,298 calon, menunjukkan peningkatan 70 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Menurutnya, peningkatan ini jelas menunjukkan permintaan tinggi dalam kalangan rakyat untuk menyertai perkhidmatan awam.
“Maka, pewujudan pusat temu duga yang strategik amat penting bagi memudahkan akses calon,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Temu Duga SPA Ipoh di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak di sini pada Isnin.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha (Pengurusan) Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Nor Sham Rahman dan Timbalan Pengerusi SPA, Datuk Zohari Said.

Beliau berkata, pusat temu duga tersebut mula beroperasi sejak tahun 2016 di lot 29 dan 31 UTC Perak, dengan keluasan 2,533 kaki persegi.
“Bagaimanapun, bagi memastikan keselesaan pengunjung dan meningkatkan kualiti perkhidmatan, SPA telah melaksanakan penempatan semula pusat temu duga tersebut ke lot baharu pada 14 April lalu.
“Lot baharu berkeluasan 2,776 kaki persegi itu bukan sahaja lebih luas, tetapi turut dilengkapi kemudahan yang lebih selesa dan efisien untuk calon serta petugas SPA,” ujarnya.
Ahmad Jailani menjelaskan bahawa usaha penempatan semula ini hasil perbincangan berterusan sejak Jun 2024 antara pihak Pengurusan UTC Perak dan SPA, termasuk beberapa sesi lawatan tapak bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar.
“Kerjasama strategik antara agensi kerajaan ini membuktikan komitmen bersama dalam merealisasikan penyampaian perkhidmatan awam yang cemerlang, selaras dengan Teras Keberhasilan Reformasi (TKR) di bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Proses pelantikan tetap 4,500 doktor kontrak akan dilaksana segera – SPA


