IPOH – Mana-mana calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang berdepan dengan sebarang isu berkaitan peperiksaan termasuk banjir diminta untuk menghubungi Bilik Gerakan Lembaga Peperiksaan atau Jabatan Pendidikan Negeri.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia untuk membantu kesemua calon SPM untuk memastikan mereka tidak tercicir daripada menduduki peperiksaan berkenaan.
“KPM bersiap siaga dengan sebarang situasi dan bersedia untuk membantu anak-anak kita sekiranya timbul sebarang isu berbangkit (untuk memastikan kelancaran perjalanan SPM).
“Tidak hanya kepada yang terjejas bencana, malah mana-mana calon yang berdepan dengan sebarang masalah juga boleh menghubungi bilik gerakan supaya kita dapat membantu mereka dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau perjalanan hari pertama peperiksaan bertulis SPM 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Pasir Puteh dekat sini, pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Safuan Raba’ai; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Jenny Choi Tsi Jen; Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How; serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari.
Mengulas lanjut Kah Woh berkata, KPM bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Meteorologi (METMalaysia) bagi melakukan persediaan awal dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana yang tidak diingini.
Jelas beliau, malah KPM turut akan terus mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana yang telah digariskan dalam Operasi Payung sebelum ini.
“Melalui pengalaman dan usaha sebelum ini, kita telah membantu mangsa banjir ketika menjalani ujian lisan SPM.
“Justeru KPM yakin bahawa kita mampu mengendalikan isu berbangkit dalam memastikan kebajikan di samping calon dapat terus mengambil peperiksaan berkenaan,” katanya lagi.
Sementara itu, Kah Woh memaklumkan, seramai 402,956 calon peperiksaan di seluruh negara menduduki peperiksaan SPM 2024 sehingga 6 Februari depan.
Kata beliau, seramai 44,968 orang petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran di 3,337 pusat peperiksaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan: