IPOH – Sebarang tindakan pembanterasan rasuah termasuk yang melibatkan golongan agamawan wajar diserahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, pihaknya memandang serius terhadap isu segelintir individu yang didakwa menggunakan kedudukan sebagai pendakwah bagi meraih kepentingan sendiri.
Tegasnya, undang-undang perlu ditegakkan secara adil dan saksama tanpa mengira latar belakang atau status seseorang.
“Tak kira siapa pun, undang-undang mengatasi semua orang. Selama mana dia salah, maka berhak untuk disiasat dan didakwa sekiranya mempunyai bukti yang cukup.
“Dan (undang-undang) kita juga tidak melindungi sesiapa sama ada rakan, agamawan, pendakwah atau sesiapa pun. Jika terbukti salah, kita serah kepada kebijaksanaan agensi penguatkuasaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) dan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Jabatan Mufti Negeri Perak di Pejabat SPRM Perak, dekat sini, pada Isnin.
Hadir sama, Pengarah SPRM Negeri Perak, Datuk Ahmad Sabri Mohamed.
Tambah Zamri, justeru golongan asatizah disaran untuk terus memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat mengenai nilai integriti dan menanam sifat kebencian terhadap gejala rasuah.
Dalam pada itu, beliau turut diminta mengulas tentang kecenderungan segelintir anggota masyarakat yang mempersoalkan SPRM apabila agensi itu mengambil tindakan terhadap individu berlatar yang mempunyai latar belakang agama.

Ujar beliau, masyarakat diminta agar tidak bertindak melampaui batas dengan membuat andaian awal seolah-olah menjatuhkan hukum di media sosial atau ruang awam terhadap sebarang kes yang masih dalam proses siasatan atau perundangan.
“Kita yakin SPRM tidak bertindak kecuali ada asas, dan pada masa sama, orang yang dituduh itu pula belum tentu bersalah.
“Orang awam jangan cepat menjadi seperti Yang Amat Arif Hakim di mahkamah, sebaliknya biarkan semua agensi untuk bertindak dan menjalankan tugas masing-masing dengan baik.
“Kita mahukan negara dipimpin oleh orang yang bebas rasuah, dan tempiasnya kepada rakyat yang benci dan jijik terhadap rasuah,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


