PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memberi jaminan akan menyiasat projek kontroversi MyKiosk di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sekiranya terbukti wujud elemen rasuah atau salah laku.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menegaskan, setakat ini pihaknya sudah menerima laporan berhubung perkara tersebut, selain dokumen yang dikemukakan KPKT berkenaan projek itu.
“Ada laporan diterima, saya boleh sahkan (laporan) oleh MCA semalam dan hari ini ada pihak KPKT membekalkan beberapa dokumen (berkaitan projek MyKiosk).
“Saya beri jaminan sekiranya ada elemen rasuah, kita akan siasat… bagi masa kepada kita untuk melihat apa-apa keterangan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.
KPKT dilapor menyerahkan dokumen berkaitan projek MyKiosk yang mendapat perhatian pelbagai pihak kerana didakwa menawarkan harga mahal kepada SPRM.
Kementerian itu dalam kenyataannya berkata, penyerahan dokumen secara sukarela itu sebagai tanda komitmen kementerian dalam memastikan ketelusan serta integriti projek tersebut
Ia susulan laporan dibuat Pemuda MCA Selangor kepada SPRM apabila menggesa supaya siasatan dibuat terhadap projek MyKiosk itu.
Mengulas lanjut, Azam berkata, pada masa ini pihaknya belum membuka sebarang kertas siasatan berhubung perkara itu kerana laporan yang diiterima adalah berdasarkan maklumat di media sosial.
Tambahnya, sebelum ini SPRM juga tidak menerima sebarang laporan khusus yang menyatakan sebarang dokumen, keterangan dan sebagainya.
“Jadi, berhubung perkara yang timbul daripada media sosial ini, saya perlu ulang beberapa kali bahawa kita perlu membuat pengesahan terlebih dahulu, tak boleh buat kesimpulan,” jelas beliau. – MalaysiaGazette