PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan peranannya terhad kepada menyita dan melucut hak wang hasil rasuah sebelum diserahkan kepada kerajaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, suruhanjaya itu tidak mempunyai mandat untuk menentukan ke mana wang berkenaan dibelanjakan selepas proses pelucutan selesai.
“Sekiranya dikatakan tugas kami adalah untuk menyita dan seterusnya melucut hak wang itu kepada kerajaan di bawah Kementerian Kewangan (MOF), bukan tugas kami untuk memastikan ke mana wang itu dibelanjakan. Itu adalah tanggungjawab MOF,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri sesi menandatangani Nota Kerjasama antara SPRM dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, di Menara Seri Wilayah, hari ini.
Menurut Azam, SPRM telah melaksanakan amanah seperti yang diperuntukkan undang-undang dan tidak mencampuri keputusan dasar kerajaan berkaitan penggunaan dana yang diperoleh semula itu.
“Pada pandangan saya, MOF ataupun kerajaan tahu bagaimana untuk menguruskannya. Yang pentingnya di sini kerja kami adalah untuk kembalikan wang yang dicuri daripada rakyat balik kepada rakyat,” katanya lagi.
Azam turut menegaskan bahawa kejayaan SPRM diukur melalui keupayaan merampas serta memulangkan semula wang hasil rasuah kepada kerajaan sebagai pemegang amanah kepada rakyat.
Kenyataan itu dibuat susulan gesaan Malaysian Corruption Watch (MCW) supaya kerajaan meningkatkan tahap ketelusan dalam pengurusan dana rasuah yang diperoleh semula agar manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, jumlah RM8.5 bilion yang berjaya diperoleh semula SPRM tahun lalu merupakan pencapaian besar dari sudut penguatkuasaan, namun pada masa sama mencerminkan tahap rasuah yang sudah membimbangkan dan bersifat sistemik.
Jais turut berpandangan dana yang diperoleh semula itu tidak seharusnya kembali ke dalam kitaran perbelanjaan biasa, sebaliknya disalurkan kepada sektor berimpak tinggi seperti pendidikan dan latihan integriti belia, kesihatan awam, hospital, bekalan air, perumahan, sekolah daif serta penubuhan dana khas bagi integriti dan pencegahan rasuah.
Untuk rekod, pada 2025 SPRM memperoleh semula lebih RM8.5 bilion melalui rampasan aset, pembekuan akaun, pelucuthakan, kompaun serta penyelesaian kes. – MalaysiaGazette


