IPOH – Status tanah seperti tidak mempunyai geran hak milik rasmi merupakan antara halangan utama institusi pendidikan Islam di Perak tidak memiliki Kebenaran Merancang (KM).
Pengerusi Persatuan Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Perak (PEMATAP), Datuk Mohd Azlan Suhaimi berkata, tanpa dokumen lengkap, permohonan kebenaran tidak boleh diproses ekoran syarat utama gagal dipatuhi.
Mohd Azlan berkata, proses permohonan kebenaran merancang memerlukan pelantikan perunding profesional seperti arkitek, jurutera dan pelukis pelan dan bayaran kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Kebanyakkan pengusaha institusi khususnya tahfiz dan pondok berlatarkan pendidikan Islam dan bukan koporat namun mereka mempunyai fikrah yang kuat untuk mendidik anak bangsa dalam bidang agama dan Al-Quran.
“Sumber kewangan banyak daripada sumbangan, infaq atau wakaf dan situasi ini sudah pasti tidak mampu untuk menampung kos berkenaan di samping sifat mereka yang begitu berhati-hati dalam menguruskan perbelanjaan dana tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mohd Azlan berkata, PEMATAP memandang serius kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bahawa hanya 85 buah atau 8.4 peratus daripada 1,006 institusi pendidikan agama yang berdaftar di bawah Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mempunyai KM.
Beliau berkata, justeru itu PEMATAP ingin mencadangkan beberapa perkara kepada Kerajaan Negeri Perak termasuk mewujudkan garis panduan pemutihan kelulusan KM kepada semua institusi pendidikan agama di negeri ini dengan segera.
“Pihak agensi kerajaan seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan JAIPk perlu mengadakan libat urus berkala dengan institusi Islam selain memudahkan prosedur KM bagi bangunan pendidikan agama yang kecil atau bukan komersial tanpa mengabaikan isu-isu keselamatan.
“Cadangan seterusnya adalah memberi tempoh yang sesuai sesuai dengan Kerangka Perak Sejahtera 2030 selain satu peruntukan atau geran khas diwujudkan bagi tujuan isu tanah yang melibatkan pemilikan geran, wakaf dan status tanah dari pertanian kepada komersial dan sebagainya.
“Selain itu juga melibatkan kos pelantikan perunding profesional seperti arkitek, jurutera dan pelukis pelan dan bayaran kepada PBT termasuk program bimbingan teknikal,” katanya.
Beliau berkata, turut dicadangkan pendaftaran institusi pendidikan Islam yang baharu hendaklah diperketat tanpa kompromi selari dengan hasrat kerajaan negeri dan undang-undang khususnya memperolehi KM.
Terdahulu Saarani menggesa semua pengusaha dan pentadbir institusi pendidikan agama di Perak diminta mendapatkan KM daripada PBT bagi memastikan aspek keselamatan diberi keutamaan. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Hanya 8 peratus dari 1,006 institusi pendidikan agama di Perak ada KM