STeP, MAIPk bantu Ikan Rebus Mama Meletop bangun dari kejatuhan

DIUJI dalam perniagaan tidak pernah mematahkan semangat pengusaha ikan rebus jenama Mama Meletop, Nurul Huda Abdullah, 42, untuk berhenti dari mencari rezeki yang diusahakannya itu sejak 2021.

Ibu kepada tujuh cahaya mata ini, pernah mengalami masalah kesihatan selama lapan bulan pada 2024 sehingga terpaksa memberhentikan perniagaan hingga tdak mempunyai sumber pendapatan.

Bercakap kepada Malaysia Gazette (MG) Perak, Nurul Huda berkata, bagaimanapun berkat bantuan dari dua agensi kerajaan negeri iaitu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) beliau bangkit semula sehingga kini.

Menurutnya, dia mula menjual ikan rebus segar sekitar hujung tahun 2021 selepas kehilangan pekerjaan dan mempelajarinya di Giat Mara Batu Gajah sebelum memulakan usaha secara kecil-kecilan.

“Selepas hilang pekerjaan saya memanjatkan doa kepada ALLLAH agar ada peluang dan rezeki untuk saya, suami dan anak-anak dalam berniaga dan Alhamdulillah saya melihat peluang dalam menjual ikan rebus.

Ikan yang telah disiang dan dibuang isi perut digaul dengan garam sebelum melalui proses perebusan bagi memastikan kebersihan dan ketahanan produk ketika tinjauan MalaysiaGazette (MG) Perak di Kampung Padang Tenggala, Bota Kanan, Parit. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 27 MAC 2026.

“Saya mahu orang kita menikmati ikan rebus yang bersih yang dibuang najisnya dan tidak ramai peniaga menjualnya. Maka dari situ bermulalah perjalanan saya sehingga sekarang,” katanya ketika ditemui dikediamannya di Bota Kanan, Parit.

Nurul Huda berkata, berkat usahanya dan suami berniaga ikan rebus bersih perut di pasar pagi dan malam dibeberapa lokasi sekitar Perak Tengah, Manjung dan Kuala Kangsar mendapat sambutan luar biasa.

Katanya, meskipun pada awalnya ada pelanggan kurang mempercayai ikan dijualnya sudah dibersihkan perut ia tidak mematahkan semangatnya dan dia berusaha menerangkan sebaik mungkin kepada pembeli.

“Bila mereka beli dan rasa sendiri barulah mereka mempercayainya dan sejak dari itu mereka akan datang mencari Ikan Rebus Mama Meletop selain bercerita kepada keluarga dan rakan-rakan mereka.

“Tidak cukup dari itu, ikan rebus saya ini turut ditularkan mereka di dalam Facebook yang mana memuji ia bukan sahaja bersih malah sedap dan gebu,” katanya.

Lapan bulan tidak berniaga, hilang pendapatan akibat sakit

Langit tidaknya selalu cerah begitu juga dalam dunia perniagaan, Nurul Huda diuji apabila terpaksa memberhentikan perniagaannya hampir setahun selepas mengalami penyakit misteri.

Menurut Nurul Huda, ketika perniagaannya semakin naik dia diuji Allah S.W.T. apabila jatuh sakit selama lapan bulan dan terpaksa berhenti berniaga sementara waktu.

Pengusaha Mama Meletop, Nurul Huda Abdullah, 42, ketika temubual bersama MalaysiaGazette (MG) Perak di Kampung Padang Tenggala, Bota Kanan, Parit. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 27 MAC 2026.

Katanya, pada masa sama juga dia diuji dengan masalah kewangan selain kenderaan yang digunakan untuk berniaga mengalami kerosakkan sehingga putus pendapatan.

“Lapan bulan itu saya memang berehat sungguh-sungguh dari penyakit misteri yang menimpa saya namun pada masa sama kami diuji dengan masalah kewangan hingga anak-anak tidak bersekolah.

“Anak saya ada yang masuk ke asrama dan kita perlu selesaikan dahulu hutang piutang sekolah seperti duit yuran sebelum anak-anak boleh masuk sekolah.

“Namun saya tiada duit jadi dua bulan juga anak-anak tidak masuk ke sekolah ketika itu,” katanya.

Namun disebalik ujian berkenaan hadirnya hikmah apabila Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) datang menyalurkan bantuan kepadanya untuk meneruskan semula perniagaan ikan rebusnya.

“Bila kami tidak berniaga maka saya sekeluarga putus pendapatan dan dari situlah hadirnya MAIPk membantu saya untuk bangkit semula bantuan kewangan yang disalurkan.

Ikan rebus yang telah dimasak sepenuhnya, disusun rapi sebelum dibungkus untuk dijual kepada pelanggan ketika tinjauan MalaysiaGazette (MG) Perak di Kampung Padang Tenggala, Bota Kanan, Parit. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 27 MAC 2026.

“Alhamdulillah, sejak dari itu saya terus bangkit sehingga hari ini selain mengatur semula perniagaan kami dengan berniaga hanya di satu tempat sehari berbanding banyak tempat sebelum ini,” katanya.

Tambah Nurul Huda, selain MAIPk dia juga turut menerima bantuan mesin pembungkus berharga kira-kira RM2,000 daripada STeP pada 2024.

“Selain itu, STeP turut membantu saya mendapatkan mesin vakum serta ‘sealer’ untuk membungkus ikan rebus untuk saya memulakan semula perniagaan ini,” katanya.

Berniaga di pasar pagi dan malam sahaja

Nurul Huda berkata, selepas berniaga semula dia mengambil keputusan untuk menjual ikan rebusnya sekali sehari disatu lokasi sahaja berbanding sebelum ini.

Katanya, ia bagi memastikan dia dan suami mendapat rehat yang secukupnya dalam menjamim kesihatan masing-masing selain mengelakkan rasa penat.

“Jadi sekarang kami hanya berniaga di pasar pagi atau malam di sekitar Perak Tengah sahaja seperti pasar malam di Seri Iskandar pada Isnin dan Rabu, pasar pagi di Bota Kanan pada Sabtu, di Lambor Kanan pada Khamis.

Pasangan suami isteri ini bekerjasama dalam mengusahakan ikan rebus, menjadikan perniagaan Mama Meletop sumber rezeki keluarga ketika tinjauan MalaysiaGazette (MG) Perak di Kampung Padang Tenggala, Bota Kanan, Parit. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 27 MAC 2026.

“Begitulah rutin harian kami selain turut menerima jemputan dari Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) jika ada,” katanya.

Katanya selain itu, ikan rebus buatannya turut menerima tempahan daripada beberapa buah restoran yang kini menjadi pelanggan tetap mereka.

“Selain itu pelanggan kami juga bertambah terutamanya selepas bekas Ahli Parlimen Parit, Datuk Nizar Zakaria datang ke rumah saya dan mempromosikan jualan ikan rebus saya di TikTok beliau baru-baru ini.

“Selepas beliau promosikan perniagaan saya di TikTok, saya pun terkejut. Orang yang sebelum ini tak pernah makan ikan rebus pun mula beli, sekaligus meningkatkan jualan serta memperkenalkan produk saya kepada lebih ramai pelanggan,” katanya.

Ingin miliki premis sendiri

Ditanya mengenai hasratnya, Nurul Huda berkata, dia berkeinginan untuk memiliki premis memproses ikan rebusnya itu dalam usaha mengembangkan perniagaan berkenaan.

Ikan yang telah digaul dengan garam dan disusun sebelum direbus sebagai langkah awal dalam penyediaan ikan rebus jenama Mama Meletop ketika tinjauan MalaysiaGazette (MG) Perak di Kampung Padang Tenggala, Bota Kanan, Parit. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 27 MAC 2026.

Katanya, ini kerana dia memproses ikan rebus di kediamannya sehingga menyukarkan dia memperoleh bantuan daripada agensi dan jabatan kerajaan terlibat.

“Jika ada premis ini maka saya dapat memperbanyakkan lagi proses ikan rebus dan memudahkan kami menerima bantuan berupa peralatan seperti penimbang dan lain-lain./

“Selain itu saya juga memerlukan bantuan dapur api kerana dapur yang kami gunakan sekarang cepat rosak dan karat daripada air garam yang digunakan memproses ikan rebus,” katanya.

Tambahnya dia terpaksa menukar dapur tiga ke empat kali setahun disebabkan sering rosak. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI