IPOH – Bekalan ikan negara kekal stabil dan mencukupi bagi menampung permintaan domestik meskipun berdepan cabaran ketidaktentuan geopolitik ekoran konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada kenaikan harga bahan api termasuk di Malaysia.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, situasi semasa menunjukkan pengeluaran ikan masih mampu memenuhi permintaan domestik kerana sebahagian besar nelayan masih turun ke laut.
Katanya, sekiranya seluruh aktiviti penangkapan dalam negara ikan terhenti, simpanan stok sedia ada masih mampu menampung keperluan protein rakyat untuk tempoh sehingga tiga bulan.
“Buat masa ini stok bekalan ikan negara kita masih mencukupi dan kita jangkakan ia tidak terjejas kerana vesel-vesel di perairan daripada zon A, B dan C masih keluar beroperasi bagi menangkap ikan di laut ketika ini.
“Malah, sekiranya semua nelayan tidak dapat ke laut sekalipun, bekalan yang ada dalam ‘stockpile’ (simpanan) kita masih boleh menampung sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Pindaan Akta Perikanan 2025 dan Kesan Konflik Iran-Amerika Syarikat Terhadap Sektor Perikanan Negara di Pejabat Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Perak, di sini, pada Khamis.
Program yang membabitkan nelayan, penternak akuakultur, pemain industri dan rakan strategik itu dirasmikan Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Adnan berkata, dalam mendepani situasi semasa, kerajaan perlu menanggung subsidi dalam jumlah yang besar bagi memastikan vesel penangkapan ikan di zon A, B dan C untuk terus beroperasi bagi menjamin bekalan ikan negara.
“Namun, bagi vesel zon C2 (zon tangkapan jarak melebihi 30 batu nautika dari pantai) yang tidak menerima subsidi bahan api, kesannya lebih ketara apabila dianggarkan kira-kira 300 vesel berkemungkinan tidak dapat beroperasi,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, Jabatan Perikanan kini sedang memperkasakan subsektor akuakultur sebagai langkah alternatif bagi memastikan rantaian bekalan makanan negara tidak terputus sekiranya aktiviti tangkapan ikan terjejas.
Menurut Adnan, pengeluaran sumber akuakultur dari sangkar-sangkar laut dilihat lebih berdaya tahan berbanding ternakan di sungai utama yang dijangka berdepan cabaran fenomena El Nino pada Jun nanti.
“Kita sedang membuat pemantauan rapi kerana menjangkakan kesan El Nino akan lebih ketara pada bulan Jun yang mungkin menyebabkan paras air sungai menyusut dan menjejaskan ternakan sangkar di kawasan tersebut.
“Bagaimanapun, bekalan ikan secara keseluruhan masih stabil kerana kita mempunyai pengeluaran alternatif dari sangkar laut yang besar seperti di Perak, selain sumber protein lain seperti ayam, dan telur,” katanya lagi.
Oleh itu, Adnan menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang pembelian panik kerana pemantauan rapi sentiasa dilakukan bagi memastikan bekalan ikan di pasaran kekal terkawal.
“Impak itu (kesan rantaian daripada konflik Asia Barat) sehingga April masih belum dirasai, walau bagaimanapun, kita sentiasa melakukan pemantauan kerana ia dijangka akan memberi kesan (kepada aktiviti perikanan) pada sekitar Mei dan Jun,” ujar beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bekalan barangan mencukupi, jangan buat pembelian panik – Armizan


