STPM 2023; 1,168 calon dapat PNGK 4.00, turun 68 calon berbanding 2022

KUALA LUMPUR – Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 menunjukkan peningkatan catatan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) nasional kepada 2.84 berbanding 2.82 pada 2022.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata, secara keseluruhan PNGK nasional STPM 2023 meningkat sebanyak 0.02 mata, sekali gus tertinggi sejak peperiksaan itu dilaksanakan.

Bagaimanapun, menurut beliau, calon yang mendapat PNGK 4.00 tahun 2023 menurun 68 calon iaitu seramai 1,116 calon berbanding 1,184 calon tahun 2022 dengan 803 calon atau 71.95 peratus adalah kategori B40.

Tambahnya, daripada segi pencapaian PNGK calon, secara keseluruhannya peratusan longgokan calon STPM 2023 pada PNGK 3.75 dan ke atas ialah 10 peratus; PNGK 3.00 dan ke atas (44.82 peratus); PNGK 2.75 dan ke atas (58.79 peratus) dan PNGK 2.00 dan ke atas (90.08 peratus) iaitu meningkat berbanding tahun 2022.

“Dengan peningkatan bilangan calon pada PNGK ini, maka boleh dijadikan jangkaan, Insya-Allah, seperti tahun-tahun lepas, tiada halangan lebih ramai calon lepasan STPM 2023 diterima masuk ke universiti awam pada tahun ini berbanding lepasan STPM tahun 2022,” katanya pada Majlis Pengumuman Keputusan STPM Tahun 2023 di MPM, di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd. Ekhwan yang juga Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, bilangan calon yang meraih 5A dalam kelima-lima mata pelajaran yang diambil juga bertambah daripada 38 calon pada 2022 kepada 41 calon pada 2023 dengan 29 daripadanya ialah calon kategori B40.

Bagaimanapun, ujar beliau, bilangan calon yang mendapat 4A dalam peperiksaan STPM 2023 menurun iaitu daripada 1,158 pada tahun 2022 kepada 1,087 calon iaitu penurunan sebanyak 71 calon atau 6.13 peratus dengan 782 daripada calon merupakan kategori B40.

Dalam pada itu, tambahnya, peratusan calon STPM 2023 yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran meningkat sebanyak 0.84 peratus atau 236 calon, iaitu daripada 31,280 calon pada tahun 2022 kepada 31,516 calon tahun lalu.

“Sementara itu, daripada 41,548 calon STPM 2023 yang hadir, sebanyak 99.93 peratus atau 41,520 calon layak dianugerahkan sijil, manakala hanya 0.07 peratus atau 28 calon tidak layak mendapat sijil.

“Syarat layak untuk mendapatkan sijil STPM ialah calon mesti memperoleh lulus sebahagian sekurang-kurangnya dalam satu mata pelajaran,” katanya.

Tambah beliau, MPM turut memilih 17 pelajar STPM 2023 terbaik dalam pelbagai kategori termasuk aliran Sains dan Sains Sosial, Orang Asli serta calon berkeperluan pendidikan khas dengan masing-masing menerima wang tunai RM1,000, plak dan sijil.

Keputusan STPM 2023 boleh diperolehi bermula pukul 11 30 pagi ini menerusi beberapa kaedah seperti di laman sesawang http://stpm.mpm.edu.my/stpmK.

Keputusan itu juga boleh diperoleh secara sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM<jarak>No.K/P<jarak>Angka Giliran dan hantar ke 15888. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI