KUALA LUMPUR – Kerajaan akan terus melaksanakan inisiatif melalui kesinambungan program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menerusi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) juga, inisiatif Payung Rahmah akan dipergiat termasuk Jualan Rahmah bagi memastikan akses kepada makanan dan keperluan asas pada harga berpatutan.
“Pakej Rahmah untuk perkhidmatan internet serta insurans dan takaful yang lebih mampu dibayar juga diteruskan.
“Kerajaan juga terus memastikan kos pengangkutan awam yang berpatutan. Pas perjalanan bulanan dan pas perjalanan khas kepada pelajar, warga emas dan OKU serta program subsidi tiket penerbangan udara kepada pelajar akan diteruskan.
“Ini kita umumkan kerana ada kata ia tidak ada dilakukan, ini semua langkah yang baharu diambil oleh Kementerian Pengangkutan,” katanya yang juga Menteri Kewangan.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan RMK13 di Parlimen di sini hari ini. – MalaysiaGazette