Suami isteri cedera, motosikal gagal elak lori

TANJUNG MALIM – Pasangan suami isteri cedera selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang gagal mengelak sebuah lori di Kilometer 363.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 10.30 pagi itu, penunggang motosikal, Mohamad Nor Ekhsan Md Puat, 31, mengalami kecederaan di kepala dan patah tangan manakala isterinya, Tengku Balkis Tengku Zainal Rasid, 31, luka di bahagian muka.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, semasa kejadian, pasangan suami isteri yang menaiki motosikal jenis Yamaha MT dari Kota Damansara ke Ipoh.

“Siasatan mendapati pemandu lori jenis Hino sedang memandu di lorong kiri di antara dua lorong sebelum mengubah haluan ke lorong kanan untuk memotong kenderaan di hadapannya.

“Tiba-tiba motosikal yang datang dari arah yang sama tidak sempat membrek dan mengelak lalu melanggar belakang kanan lori.

“Akibat perlanggaran tersebut, pemandu dan pembonceng motosikal terbabit telah mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, pemandu lori berusia 34 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) Jalan 1987.

Terdahulu, tular rakaman kamera papan pemuka berdurasi 26 saat sebuah kereta yang dikongsi di platform media sosial.

Rakaman itu menunjukkan pelanggaran antara motosikal dan lori berkenaan sehingga menyebabkan pasangan suami isteri itu terpelanting ke atas jalan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pemandu lori makanan sejuk beku maut, rempuh belakang treler

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI