IPOH – Sepasang suami isteri dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas 75 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram bernilai RM52.8 juta, penawaran skim pelaburan tidak berdaftar, serta beroperasi tanpa lesen Bank Negara Malaysia (BNM) dari 2016 sehingga 2024.
Tertuduh Mohammad Riza Ahmad Hambadley, 57, dan isterinya, Wan Ziraiza Wan Ismail, 55, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad dan Hakim Jean Sharmila Jesudason di dua Mahkamah Sesyen berbeza.
Mohammad Riza yang bekerja sendiri berdepan 61 pertuduhan berkaitan kesalahan pengubahan wang haram yang meliputi 58 pertuduhan dan tiga pertuduhan terhadap isterinya, yang merupakan Pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah Perenggan 4(1)(b) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.
Dalam pada itu, kedua-dua tertuduh yang juga Pengarah Pertubuhan Amal Kita Kinta Perak masing-masing didakwa atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan Kewangan 2013.
Mengikut pertuduhan, Pertubuhan Amal Kita Kinta Perak telah menerima deposit daripada orang awam tanpa suatu lesen yang sah yang diberikan di bawah seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 melalui satu skim yang melibatkan pembayaran di dalam Program Ayam Kampung Pertubuhan Amal Kita Kinta dan Program Induk Kambing Baka Shami Pertubuhan Amal Kita Kinta.
Perbuatan itu dilakukan di antara 16 Ogos 2017 sehingga 15 Julai 2023 di No 11A, Lorong Dewangsa 2, 31000, Batu Gajah di dalam Daerah Kinta.
Tertuduh boleh dikenakan penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya.
Sementara itu bagi kesalahan di bawah Seksyen 3(2)(b) Akta Skim Kepentingan 2016, Mohammad Riza dikenakan lima pertuduhan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta manakala Wan Ziraiza didakwa atas lima pertuduhan bersubahat dengan suaminya di antara 3 Mac 2017 hingga 7 Januari 2021.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Steve Chin Yun Cheong; Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Fazarul Ezhar Mohd Mokhtar dan Nurul Nabila Azmi serta Pegawai Pendakwa BNM, Muhamad Atif Abdullah dan Harvind Raja Gopal.
Peguam Datuk Yaacob Md Sam dan peguam Md Yunos Shariff mewakili kedua-dua tertuduh.
Yaacob memohon supaya jaminan secara global untuk kesemua 75 pertuduhan dengan wang jaminan RM150,000 untuk Mohammad Riza dan RM100,000 untuk Wan Ziraiza berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan perkara itu dipersetujui kesemua pihak pendakwaan
Ainul Shahrin kemudiannya menawarkan jaminan masing-masing RM100,000 kepada Mohammad Riza dan Wan Ziraiza dengan seorang penjamin tanpa sayarat tambahan lain serta menetapkan 4 November depan sebagai tarikh serahan dokumen selepas 51 kertas pertuduhan dibacakan di hadapannya.
Dalam prosiding sama di mahkamah berbeza, Jean Sharmila menetapkan jaminan bagi 14 pertuduhan berbaki itu adalah bersekali (global) dengan 51 tuduhan terdahulu.
Selain itu, beliau turut menetapkan syarat tambahan iaitu kedua-dua tertuduh dilarang mengganggu saksi serta perlu melapor diri ke balai polis berhanpiran antara 1 hingga 5 haribulan setiap bulan sehingga kes selesai. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Ibu menangis teresak-esak mengaku salah cuai sebabkan kematian bayi