GERIK – Pasangan suami isteri maut selepas motosikal jenis Yamaha XMax yang dinaiki terbabit dalam kemalangan tiga kenderaan di laluan kilometer (km) 96.4 Kuala Kangsar – Pengkalan Hulu, dekat sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan nahas yang membabitkan dua motosikal dan sebuah kenderaan pacuan empat roda itu pada jam 2.45 petang.
Katanya, hasil siasatan mendapati motosikal Yamaha XMax yang dinaiki penunggang lelaki berusia 38 tahun bersama pembonceng perempuan 33 tahun telah bertembung dengan sebuah kereta Toyota Hilux di tempat kejadian.
“Motosikal terbabit datang dari arah bertentangan dan masuk ke laluan sah Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 35 tahun bersama penumpang 38 tahun sebelum bertembung.
“Manakala motosikal kedua juga jenis sama ditunggang lelaki berumur 37 tahun bersama pembonceng perempuan seusia yang berada di belakang motosikal pertama tidak sempat mengelak lalu terbabas masuk ke longkang,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Abdul Samad berkata, ekoran kemalangan jalan raya itu penunggang dan pembonceng motosikal pertama telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kata beliau, sementara penunggang dan pembonceng motosikal kedua serta pemandu Toyota Hilux masing-masing mengalami kecederaan.
“Mangsa yang meninggal dunia telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Daerah Gerik untuk tindakan selanjutnya.
“Manakala mangsa-mangsa yang mengalami kecederaan sedang menerima rawatan di hospital sama,” tambahnya.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


