Suami isteri seleweng zakat RM9.62 juta dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah

IPOH – Pasangan suami isteri yang ditahan reman 10 hari sejak 6 Januari lalu berhubung kes penyelewengan kutipan wang zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) sebanyak RM9.62 juta dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah sebanyak RM50,000 setiap seorang.

Majistret Farah Nabihah Muhamad membenarkan permohonan jaminan bon ke atas lelaki berusia 50 tahun dan wanita berusia 53 tahun itu di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.

Terdahulu, pasangan suami isteri terbabit yang berpakaian biasa diiringi polis tiba di Mahkamah Majistret sekitar jam 9.30 pagi.

Proses permohonan jaminan bon itu berlangsung selama 20 minit sebelum kedua-dua pasangan terbabit dibawa keluar daripada mahkamah.

Mahkamah Majistret sebelum itu, membenarkan suspek ditahan reman tujuh hari pada 6 Januari lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pecah amanah dan tempoh reman tersebut dilanjutkan pada 12 Januari untuk tiga hari lagi bagi membantu siasatan.

Sebelum ini media melaporkan, pasangan suami isteri terbabit ditahan pada 5 Januari lalu bagi membantu siasatan kes berhubung syarikat yang dilantik sebagai ejen kutipan zakat MAIPk selepas disyaki menyeleweng kutipan zakat sebanyak RM9.62 juta.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pasangan itu ditangkap di Kuala Lumpur sekitar jam 12.35 tengah malam.

Menurutnya, kedua-dua mereka berperanan sebagai ejen kutipan zakan dan bukan kakitangan mana-mana pusat zakat di Malaysia. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pasangan suami isteri disyaki terlibat kes seleweng wang zakat disiasat

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI